Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

LENGGONG: Sistem kemasukan ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) akan diselaraskan mulai pengambilan Januari tahun hadapan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pemohon boleh memohon ke kedua-dua institusi pendidikan itu, namun hanya akan menerima satu tawaran bagi mengelak pertindihan.

“Pada masa ini, pemohon mungkin menerima dua tawaran, khususnya pelajar yang memohon ke MRSM dan SBP.

“Apa yang berlaku, MRSM akan mengeluarkan surat tawaran terlebih dahulu, tetapi apabila mereka menerima tawaran kedua (SBP), mereka cenderung untuk beralih ke sekolah berasrama penuh.

“Oleh itu, saya cadangkan agar dilakukan penyelarasan,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Wacana Aspirasi bersama Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah di MRSM Lenggong, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ahmad Zahid turut dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi memastikan sekolah berasrama termasuk MRSM memberikan tumpuan kepada pendidikan STEM.

“Kita mahu melahirkan lebih ramai golongan profesional dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan serta bidang-bidang profesional lain sebagai persediaan ke arah menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi dan maju,” katanya.

Beliau turut menegaskan tiada ruang untuk sebarang perlakuan buli di MRSM, dan mana-mana pelajar yang terbukti terbabit dalam jenayah itu akan dikenakan tindakan buang sekolah.

“Saya sama sekali tidak bertolak ansur terhadap perlakuan buli di MRSM, dan saya amat bersetuju dengan tagline Pengerusi MARA, ‘you touch, you go’.

“Kita mahu 100 peratus pelajar MRSM memiliki akhlak, budi pekerti dan sahsiah terpuji, bukan hanya cemerlang dari segi akademik,” tegasnya. – BERNAMA