SHAH ALAM: Agensi umrah dan haji berdaftar yang didapati terbabit dalam penipuan pakej haji akan dikenakan tindakan pembatalan lesen serta merta.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa agensi berkenaan yang dipercayai menyalahgunakan kepercayaan jemaah.
“Lesen mereka akan dibatalkan dan tindakan lanjut sedang diambil. Kes membabitkan penipuan ini bukan sahaja memberi kesan kepada mangsa, malah mencemarkan nama baik institusi ibadah haji itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata sedemikian ketika ditemui selepas Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau turut menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang yang mahu kerajaan serius menangani penipuan pakej haji dengan lebih serius.
Mohd Na’im berkata, tindakan itu diambil melalui kerjasama strategik antara Lembaga Tabung Haji (TH), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, tindakan itu bagi memastikan pihak tidak bertanggungjawab yang memperdaya umat Islam dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi.
“Kerajaan melalui Lembaga Tabung Haji akan bertindak segera ke atas mana-mana pihak yang terlibat dalam penipuan ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, promosi haji palsu yang disebarkan menerusi platform digital kini menjadi trend yang membimbangkan dan memerlukan pemantauan bersama oleh semua pihak berkuasa.
Katanya, penipuan berkenaan tidak boleh dibiarkan kerana bukan sahaja membabitkan wang ringgit, malah memberi kesan kepada ibadah suci umat Islam yang terpedaya.
Dalam masa yang sama, beliau turut meminta orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu sama ada agensi yang dihubungi memiliki lesen sah.
“Tolong semak dahulu sebelum bayar dan semakan mudah boleh dilakukan, misalnya umrah di bawah sistem Motac (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) dan bagi haji, hanya 37 Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang diberi lesen oleh Tabung Haji,” katanya.
Terdahulu, Sultan Selangor menitahkan umat Islam tidak menganiaya orang lain dengan mengambil kesempatan menawarkan pakej-pakej haji palsu semata-mata untuk mengaut keuntungan.
Sultan Selangor bertitah, mengaut keuntungan secara menipu dan memperdayakan umat Islam adalah perbuatan keji.-BH Online