Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

TAPAH: Jentera Barisan Nasional (BN) digesa mengelak daripada mencetuskan provokasi perkauman dan agama sepanjang berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata ini bagi mengelak perpecahan dalam kalangan penduduk setempat, selain mahu BN menawan Ayer Kuning tanpa dibayangi sebarang fitnah.

Pengarah Pilihan Raya BN itu juga menegaskan, mahu mentadbir Perak dengan penuh kasih sayang dan aman damai tanpa sebarang tindakan boleh menggugat keharmonian sejagat.

“(Jentera) yang datang dari Perlis, Kedah dan beberapa negeri lagi, lepas PRK mereka akan pulang ke kawasan masing-masing dan hanya pengundi kekal mendiami kawasan ini.

“Sebab ini saya pesan jangan cetus provokasi atau pertelingkahan kerana setiap rumah mungkin ada penyokong pelbagai parti politik.

“Janganlah kerana PRK dan provokasi melampau (sepanjang tempoh kempen) menyebabkan pertelingkahan dalam rumah tangga serta masyarakat setempat.

“Setiap kampung ada penyokong BN dan parti lain, mereka guna surau dan masjid sama. Janganlah lepas PRK nanti perpecahan berlaku. Jika Perikatan Nasional (PN) hendak buat juga, itu urusan mereka,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi BN negeri berkata demikian selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidlfitri anjuran Persatuan Kelab-kelab Belia (MAYC) Perak di sini, hari ini.

Saarani turut mengingatkan jentera BN supaya tidak menjadikan isu peribadi lawan mahupun meremehkan mana-mana agama sepanjang berkempen pada PRK berkenaan.

“Saya sering ingatkan diri supaya jangan sentuh isu peribadi (lawan) kerana setiap manusia ada kebaikan dan kelemahan. Kalau kita cakap kelemahan orang, kita pun ada kelemahan sendiri.

“Bila ungkit kelemahan orang, pihak lawan pun akan lakukan pendekatan sama. Tiada manusia yang sempurna,” katanya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu.

Mengenai provokasi berkaitan agama, beliau berkata, tindakan sedemikian bukan hanya tidak dibenarkan dalam Perlembagaan, sebaliknya turut dilarang oleh setiap agama.

“Kita mengamalkan kebebasan agama. Biarpun Islam adalah agama Persekutuan, kita benarkan agama lain diamalkan. Janganlah semua mahu cetuskan provokasi untuk meremehkan agama lain.

“Semua beramallah ikut agama masing-masing. Ini adalah perkara paling asas bagi pembinaan negara aman dan damai. Kita ditakdirkan berkongsi negara ini dengan pelbagai bangsa dan latar belakang agama,” katanya.-BH Online