Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan mengadakan sesi perbincangan intensif bagi meningkatkan kecekapan menangani penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), terutamanya untuk menyunting gambar lucah.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata banyak perkara yang perlu diteliti semula termasuk berkait perundangan, selain meneliti sama ada program advokasi keibubapaan sedia ada masih relevan.

Beliau berkata, sesi perbincangan itu juga akan membabitkan pihak lain, khususnya Kementerian Komunikasi dan Kementerian Pendidikan (KPM).

“Kami akan berbincang untuk menetapkan bila program itu dapat dilaksanakan dalam usaha kita meningkatkan kecekapan dalam menangani pelbagai isu terkini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Majlis Ramah Tamah Aidilfitri KPWKM, di Wisma Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI), di sini, hari ini.

Nancy berkata, KPWKM juga akan memberi tumpuan di kawasan luar bandar yang masih kurang pendedahan berhubung bahaya penyalahgunaan teknologi.

“Kita memperbanyakkan program di sekolah tetapi kita harus meningkatkan lagi ilmu kalangan mereka yang terbabit dalam program itu supaya selari dengan keadaan semasa.

“Saya juga sudah memaklumkan kepada pegawai KPWKM untuk meneliti perundangan sedia ada, apa lagi yang boleh dipertingkatkan atau mungkin kita perlu pinda undang-undang itu,” katanya.

Rabu lalu, seorang remaja lelaki direman lima hari bagi membantu siasatan kes penyebaran gambar suntingan berunsur lucah membabitkan pelajar dan bekas pelajar sekolah swasta di Kulai, Johor.

Penahanan itu dibuat susulan polis menerima laporan remaja perempuan berusia 18 tahun mendakwa terdapat gambar lucah yang sudah disunting dengan menggunakan gambar wajahnya tular di media sosial.

Mangsa mendapati gambar lucah itu turut cuba dijual dalam talian dan siasatan awal mendapati suspek memperoleh gambar mangsa daripada akaun media sosial sebelum menyuntingnya menggunakan aplikasi AI.

Setiap keping gambar dipercayai dijual pada harga RM2.

Setakat ini, 29 laporan polis dibuat berkaitan kes terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).-BH Online