Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JOHOR BAHRU: Pelaburan suku pertama Johor mencecah RM27.4 bilion menjadi petunjuk positif permulaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata ia membabitkan pelaburan dalam pelbagai sektor antaranya farmaseutikal, teknologi maklumat, kecerdasan buatan (AI), pembuatan dan semikonduktor.

Ia pencapaian membanggakan negeri berbanding pelaburan RM20 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama dicapai tahun lalu.

“Alhamdulillah Pemangku Sultan Johor (Tunku Mahkota Ismail) telah bertitah semalam tentang nilai pelaburan di Johor cecah RM27.4 bilion… ini satu angka membanggakan buat negeri.

“Ia hanya permulaan, JS-SEZ pun baru bermula, ia mendapat satu respon positif.

“Satu peningkatan besar dalam keadaan ekonomi negara dan global yang tidak menentu, tetapi Johor masih ke hadapan. Kita dapat hasilkan perkara ini kerana kita bekerja satu pasukan,” katanya selepas sesi Townhall Visit Johor 2026 bersama industri pelancongan di Hotel Double Tree hari ini.

Onn Hafiz berkata, satu forum ekonomi bersama Singapura bakal berlangsung di sini Isnin depan, berpotensi melonjak nilai pelaburan di negeri ini.

“Saya difahamkan hampir 800 syarikat menunjukkan minat bersama program itu,” katanya.

Semalam, Tunku Mahkota Ismail bertitah Pelaburan Johor pada suku pertama tahun ini mencecah RM27.4 bilion, didorong pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi menarik lebih banyak pelaburan ke negeri ini termasuk JS-SEZ.-BH Online