Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memulakan siasatan serta-merta terhadap Sin Chew Daily berikutan penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap pada muka hadapan akhbar mereka, semalam.

Kementerian itu dalam kenyataan hari ini, berkata pihak Sin Chew Daily sudah dipanggil hari ini bagi tujuan siasatan dan Surat Tunjuk Sebab juga sudah diserahkan.

Katanya, kecuaian itu amat dikesali dan KDN amat memandang serius perkara berkenaan.

“Perbuatan menyiarkan Jalur Gemilang tanpa simbol bulan sabit yang juga lambang kepada kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan adalah suatu kecuaian yang serius dan tidak sewajarnya dilakukan. 

“Selain itu, perbuatan ini juga bukan sahaja mencerminkan kelalaian profesionalisme, malah boleh mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk negara ini,” katanya.

Menurut KDN, siasatan dijalankan mengikut Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414] dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301].

Katanya, Jalur Gemilang bukan sekadar simbol, sebaliknya ia adalah lambang kedaulatan, perpaduan dan identiti nasional negara ini yang wajib dihormati serta dimartabatkan oleh semua pihak.

“Mana-mana pihak yang gagal mematuhi spesifikasi rasmi bendera seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414], boleh dikenakan tindakan berdasarkan undang-undang semasa yang berkuat kuasa.

“KDN tidak sesekali berkompromi dan tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang cuai dalam menerbitkan apa-apa hasil penerbitan yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam seperti mana yang diperuntukkan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301],” katanya.

KDN berkata, tindakan penguatkuasaan yang tegas atas kesalahan terhadap kedua-dua Akta yang berkuat kuasa akan dipertimbangkan sewajarnya selepas siasatan dilengkapkan.

“Sebagai Kementerian yang bertanggungjawab menjaga keselamatan dan ketenteraman awam, KDN tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat serta mengancam kestabilan, keharmonian dan kesejahteraan negara,” katanya.-BH Online