Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi Lembaga Lebuhraya (LLM) kini sedang membangunkan kemudahan asas yang lebih selamat kepada penunggang motosikal di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata kini terdapat pelbagai risiko yang dihadapi penunggang motosikal terutama ketika mereka berhenti berteduh semasa hujan.

“Pembinaan kemudahan ini penting supaya penunggang motosikal tidak lagi berhenti dan berteduh secara sembarangan di tepi jalan, bawah jambatan atau di lorong kecemasan.

“Tindakan ini bukan sahaja berisiko, malah membahayakan nyawa kerana terdapat banyak kes penunggang motosikal dilanggar dari belakang, terutama ketika hujan lebat apabila pemandu kenderaan sukar melihat mereka dengan jelas.

“Oleh itu, usaha menyediakan kemudahan khas seperti tempat berteduh di lokasi lebih strategik perlu terus diperkasa melalui kerjasama antara kerajaan dan pihak industri,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Seminar Teknologi Jalan dan Pembinaan Malaysia-Korea Selatan, hari ini. 

Beliau berkata, selain LLM, syarikat konsesi lain seperti PLUS turut bersama dalam merealisasikan pembinaan berkenaan. 

Sementara itu, mengenai seminar berkenaan Nanta berkata, ia dianjurkan bersama Kedutaan Republik Korea Selatan dan dilihat sebagai platform penting serta mampu merangsang kerjasama rentas sektor khususnya dalam bidang pembinaan, teknologi dan infrastruktur bagi kedua-dua negara.

Di pihak Korea Selatan, antara yang menyertai seminar berkenaan ialah Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan (MOLIT), Agensi Kemajuan Teknologi Infrastruktur Korea (KAIA), Institut Teknologi Kejuruteraan Awam dan Bangunan Korea (KICT) serta Perbadanan Lebuhraya Korea (KEC).

Sementara Malaysia pula turut disertai oleh Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), LLM, Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CREaTE) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).-BH Online