TAPAH: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Ia diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori di sini, sebentar tadi.

Terdahulu proses penamaan calon telah berlangsung di Dewan Merdeka Tapah sejak jam 9 pagi.
Calon PN iaitu Pengerusi PN Tapah, Abdul Muhaimin Malek menjadi individu pertama tiba jam 9.01 pagi, menyerahkan borang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bersama pencadang dan penyokong.
Ia diikuti Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, Dr Mohamad Yusri Bakir, yang bertanding mewakili BN kira-kira jam 9.06 pagi tadi.
Selain calon PSM, yang diwakili Timbalan Setiausaha Agungnya, Bawani KS pada jam 9.15 pagi.

Turut hadir pemimpin yang memberikan sokongan kepada calon, antaranya Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Sokongan turut dizahirkan pemimpin parti komponen Kerajaan Perpaduan, antaranya Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming.
Juga kelihatan, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini, dengan hari penamaan calon pada 12 April dan pengundian awal pada 22 April.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 58, pada 22 Februari lalu.-Buletin TV3