BACHOK: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan menyegerakan projek tebatan banjir di Kelantan bagi menyelesaikan masalah banjir yang saban tahun melanda negeri itu.
Perdana Menteri menegaskan, projek yang membabitkan beberapa peringkat itu memerlukan kos besar, maka proses pengambilan tanah perlu dilakukan dengan cepat.
“Kita tidak sanggup melihat saban tahun Kelantan mengalami banjir tidak terkawal dengan kerajaan silih berganti,
“Justeru, saya meminta Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan Kementerian Ekonomi melihat beberapa kaedah baharu baru bagi menangani isu berkenaan.
“Jika kita melihat bila banjir sampai air melimpah dan apabila kemarau, air kering kontang. Jadi Allah berikan kita ikhtiar dan teknologi air yang mungkin boleh disimpan ketika melimpah untuk digunakan pada musim kemarau.
“Kerajaan Pusat dengan Kelantan memang ada sedikit perbezaan namun tujuan kita adalah sama mahu mengangkat martabat negara dan negeri, justeru masalah rakyat itu mesti diselesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Kelantan di Pantai Irama, di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.-BH Online