Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

GOMBAK: Malaysia sudah melakukan segala tindakan terbaik bagi memperjuang hak serta keadilan ke atas penduduk Palestin khususnya dalam merintis kemajuan ke arah menamatkan konflik sekali gus membina keamanan kekal di negara berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia tidak berdiam diri dan akan terus menyuarakan ketegasannya terhadap isu Palestin dipelbagai sesi dan dialog di peringkat antarabangsa. 

“Sebagai sebuah negara membangun, kita sudah melakukan yang terbaik, namun (konflik Palestin ini) masih belum lagi selesai.

“Pastikan kita dapat bersuara (menyokong perjuangan Palestin) sebanyak mungkin, tetapi kita perlu betulkan negara kita, hentikan rasuah, penyalahgunaan kuasa, pastikan kita mentadbir dengan baik dan melindungi kepentingan rakyat. Itulah jawapannya,” katanya pada sesi dialog terbuka pada program Meet Anwar @IIUM berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.

Turut hadir, Rektor UIAM, Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar serta Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud.

Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan, Malaysia juga perlu melindungi kepentingan ekonomi dan kekayaan negara, bagi membolehkan negara ini terus membantu Palestin khususnya penduduk di semenanjung Gaza.

“Jika kita lemah, orang akan merampas kekayaan kamu, kemudian kamu ditindas dan tiada apa lagi yang boleh dilakukan. 

“Kami akan terus memperjuangkan isu Gaza dan melindungi kepentingan negara kita kerana tanpa kepentingan ekonomi dan kekayaan, kita tidak dapat membantu mereka. Sudah tentu kita boleh menyatakan sokongan dengan kuat,” katanya.

Menyentuh usaha reformasi pentadbirannya, Anwar menjelaskan pembaharuan dasar bukan hanya tertumpu kepada bidang pendidikan tinggi saja, sebaliknya turut merangkumi reformasi fiskal, disamping penekanan juga terhadap pembangunan teknologi termasuk peralihan tenaga dan kecerdasan buatan (AI).

“Sebagai contoh, Parlimen kini mempunyai Akta Tanggungjawab Fiskal, yang bermaksud Menteri Kewangan menyerahkan kuasanya kepada Parlimen untuk menyemak jika mereka tidak dapat mencapai sasaran yang ditetapkan dan menjelaskan perkara itu.

“Seterusnya, kami juga memutuskan semua perolehan dilakukan secara betul dan wajar kerana ia menjadi punca utama kebocoran. Selain itu, reformasi institusi juga merangkumi perkhidmatan awam. Ia perlu lebih bertanggungjawab dan berpegang kepada komitmen terhadap pelaksanaan pembaharuan piawaian yang ditetapkan,” katanya.-BH Online