PUTRAJAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Penjagaan Pra-Hospital dijangka dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya awal tahun depan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata, proses penggubalan RUU itu sedang dilakukan, termasuk cadangan elemen ‘Good Samaritan Law’ bagi melindungi orang awam yang memberi bantuan kecemasan daripada implikasi undang-undang.
“Perkara ini saya (advokasikan) dari penggal pertama lagi dan kami sedang melihat kepadanya.
“Bahagian Perkembangan Perubatan, Kementerian Kesihatan (KKM), dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) (melihat) bagaimana kami boleh menggalakkan orang awam yang mempunyai kemahiran diperakui, supaya berani ke hadapan untuk membuat intervensi menyelamatkan nyawa pada waktu kritikal,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan 210 unit mesin Automated External Defibrillator (AED), di sini, hari ini.
Dr Dzulkefly berkata, perkara itu ialah antara komitmennya kepada rakyat Malaysia bagi menggalakkan orang ramai membantu dalam situasi kecemasan tanpa takut disaman atau diambil tindakan.
“Ini komitmen yang saya mahukan dan kementerian mahu lakukan. Kami berharap RUU ini akan dibentangkan, mungkin pada hujung tahun ini atau awal tahun depan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, KKM menggalakkan pemasangan AED di kawasan awam sebagai sebahagian usaha kesiapsiagaan komuniti, selain memastikan kemudahan terbabit dapat diakses dengan mudah apabila berlaku kecemasan.
“Kajian menunjukkan AED, dalam tempoh tiga hingga lima minit selepas serangan jantung, boleh meningkatkan kadar kelangsungan hidup antara 50 hingga 70 peratus.
Beliau berkata, teknik bantuan asas hayat atau resusitasi kardiopulmonari (CPR) dan penggunaan AED tidak harus menjadi pengetahuan eksklusif kepada petugas kesihatan.
“la harus menjadi kemahiran asas masyarakat. KKM menyeru agar lebih ramai rakyat tampil mengikuti latihan CPR dan AED, yang kini ditawarkan secara meluas oleh Bulan Sabit Merah Malaysia dan St John Ambulance Malaysia,” katanya.
Daripada jumlah 210 AED itu, 170 unit akan diagihkan ke hospital serta klinik kesihatan terpilih di seluruh negara, manakala 40 lagi kepada 17 kementerian dan agensi kerajaan di sekitar Putrajaya.-BH Online