KAJANG: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan kadar elaun lebih 10,000 sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dinaikkan kepada RM80 sehari daripada RM40 ketika ini.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, kadar elaun berkenaan wajar diseragamkan dengan pasukan sukarelawan lain bagi memastikan APM boleh terus memainkan peranan yang boleh diiktiraf masyarakat.
“Saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara sentiasa memperjuangkan supaya elaun sukarelawan APM diseragamkan kepada RM80 sehari.
“Insya-Allah selepas ini rakan saya, Fadillah (Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof) dan Fahmi (Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil) boleh sama-sama memperjuangkan perkara sama,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Sambutan Bulan Pertahanan Awam (HUTPA) Ke-73, di sini, hari ini.
Beliau juga berkata, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang dikerah ke Myanmar menerusi Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia (MAS-01) baru-baru ini, akan diberikan sijil sebagai menghargai pengorbanan mereka, ketika sambutan Aidilfitri.
Terdahulu, beliau menyerahkan watikah kepada 79 penerima pelantikan pegawai kehormat dan bersekutu APM.
Ia termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Perdana APM.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali; Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong serta Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir pula dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehormat APM.
Selain itu, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas turut dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehormat APM.
Pada majlis sama, Ahmad Zahid turut menganugerahkan Bintang Panglima Utama (BPU) kepada Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed.-BH Online