Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia berdepan realiti pengurangan rizab gas asli dengan pantas dan berdepan risiko menjadi pengimport bersih gas asli cecair (LNG) dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.

Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, berkata rizab gas asli negara berkurangan pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) tujuh peratus untuk Semenanjung Malaysia dan empat peratus di Sabah.

Katanya, hanya Sarawak mengekalkan bekalan yang stabil, menyumbang 59 peratus daripada jumlah rizab negara.

“Ramai mengenali Malaysia sebagai peserta utama dalam industri gas asli yang juga pengeksport LNG kelima terbesar di dunia.

“Namun, inilah realiti yang perlu kita hadapi bersama, rizab gas asli kita sedang berkurang dengan pantas. Berdasarkan corak penggunaan semasa dan unjuran rizab, dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, Malaysia bakal berubah daripada pengeksport bersih kepada pengimport bersih LNG,” katanya dalam hantaran di laman X rasmi beliau hari ini .

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, unjuran juga menunjukkan gas asli akan menyumbang sebanyak 56 peratus daripada campuran tenaga negara menjelang 2050, memainkan peranan penting dalam penjanaan tenaga dan pembangunan industri negara.

“Ini menjadikan gas asli bukan sekadar bahan api peralihan, tetapi destinasi bahan api untuk Malaysia.

“Persoalannya, bagaimanakah kita menyelesaikan ketidakseimbangan antara permintaan dan bekalan ini,” katanya.

Dalam Simposium Gas Malaysia baru-baru ini, Kementerian Ekonomi mengumumkan bahawa Pelan Hala Tuju Gas Asli Kebangsaan akan dilancarkan tahun ini.

Justeru, beliau menjelaskan, Malaysia sedang mengambil beberapa langkah penting untuk mengurangkan halangan kepada akses pihak ketiga, mengukuhkan infrastruktur LNG negara dan meletakkan Malaysia sebagai hab gas asli utama ASEAN.

“Ini amat bertepatan dengan masa sekarang kerana ASEAN secara kolektif bakal menjadi pengimport bersih LNG menjelang 2027. Malaysia juga perlu segera memperbaharui kedudukan globalnya dalam landskap tenaga serantau yang sedang berubah ini. 

“Cabaran ini besar, namun saya percaya kedudukan geografi kita, sikap berkecuali dan kekuatan infrastruktur yang ada meletakkan Malaysia sebagai pesaing awal untuk mempamerkan kepimpinan dalam sektor ini,” katanya.-BH Online