SEREMBAN: Kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan pengurusan syarikat Gas Malaysia dan Petronas Gas Bhd (PGB) dalam masa terdekat, bagi kajian keselamatan berhubung kedudukan saluran paip gas yang ada di seluruh negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata daripada taklimat dan perbincangan dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) semalam, terdapat dua saluran paip gas utama di bawah kendalian dua syarikat terbabit ada di Negeri Sembilan.
Katanya, pihaknya akan mendapatkan maklumat terperinci berkaitan saluran itu sebelum mengambil sebarang langkah menambah baik garis panduan keselamatan bagi projek pembangunan yang dijalankan pada masa depan.
“Semalam, saya telah diberikan taklimat oleh Pengarah JKR negeri berkaitan saluran paip gas di negeri ini dan dimaklumkan terdapat dua saluran utama iaitu di bawah PETRONAS yang bertekanan tinggi dan Gas Malaysia dengan tekanan lebih rendah.
“Kita dimaklumkan PETRONAS mempunyai rizab laluan saluran paip gas, sementara Gas Malaysia melalui jalan utama.
“Kita akan adakan perjumpaan dengan PETRONAS dan Gas Malaysia untuk mencari solusi yang terbaik,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kompleks Pentadbiran Daerah, di Seremban 2, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, EXCO Kanan Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim.
Aminuddin menzahirkan rasa simpati dengan kejadian luar jangka yang berlaku di Selangor dan berharap terdapat penyelesaian terbaik buat mangsa yang terbabit.
Beliau turut memaklumkan, kerajaan negeri melalui badan bukan kerajaan (NGO) serta agensi kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa bagi meringankan beban.
“Insiden Putra Heights menjadi pengajaran kepada kita untuk meneliti perkara itu bagi memastikan ia tidak memberi kesan buruk kepada masyarakat pada masa hadapan.
“Namun, kita tidak boleh membuat keputusan sekarang, lebih baik dilakukan kajian terlebih dahulu sebelum langkah dan cadangan terhadap pemaju dilaksanakan pada masa hadapan,” katanya.
Menteri Besar berkata, hasil kajian dan perbincangan itu nanti akan dimaklumkan kepada orang ramai bagi mengelak kebimbangan mereka berhubung kedudukan saluran paip gas yang ada di negeri ini.
“Saya hendak lihat dulu, tidak boleh kata kedudukannya (saluran paip gas) jauh 100 kaki misalnya dan tak beri kesan apa-apa jika berlaku sebarang insiden.
“Ini antara yang perlu kaji dulu sebelum buat keputusan dan selepas itu baru kita kembalikan semula kepada masyarakat atau pihak yang berkaitan seperti pemaju, untuk mengemukakan sebarang cadangan,” katanya.
Mengulas berkaitan isu kebimbangan penduduk berhubung projek pembangunan berhampiran saluran paip di Sendayan, baru-baru ini, Aminuddin berkata, ia membabitkan saluran paip Gas Malaysia.
“Laluan itu membabitkan saluran Gas Malaysia yang mempunyai rendah) dan bukannya PETRONAS, namun perkara itu akan diteliti dan dikaji berpandukan maklumat daripada pihak berkenaan. Bagi masa kerajaan negeri membuat kajian dan selepas itu barulah kita maklumkan hasil dapatan.-BH Online