PETALING JAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya memulihkan semula 1,016 projek perumahan bernilai RM98.96 bilion.
Menterinya, Nga Kor Ming, berkata pemulihan itu membabitkan sebanyak 122,083 unit rumah sejak penubuhan Pasukan Petugas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai pada Disember 2022.
“Isu lama mengenai projek perumahan terbengkalai menyebabkan kerugian yang teruk kepada ribuan pembeli rumah di Malaysia dan menjadikan pasaran hartanah tidak stabil. Banyak keluarga terus membayar untuk rumah yang tidak akan dapat mereka diami, sambil bergelut dengan kos sewa.
“Sebenarnya, kesan daripada isu ini melampaui isi rumah individu, projek terbengkalai menyebabkan kemerosotan kejiranan, penurunan nilai hartanah dan peningkatan kebimbangan keselamatan, yang memberi kesan kepada seluruh komuniti,” katanya semasa perasmian Simposium Strata Antarabangsa, di sini, hari ini.
Kor Ming berkata, pendekatan proaktif kementerian melalui penyelarasan yang lebih ketat dengan pemaju, institusi kewangan dan pihak berkuasa tempatan bukan sahaja mempercepatkan pemulihan projek, tetapi membantu menstabilkan pasaran hartanah secara keseluruhan, memberikan keyakinan baharu kepada pelabur domestik dan asing.
Beliau turut mendedahkan bahawa KPKT sedang menyediakan rang undang-undang baru yang memberi tumpuan khusus kepada industri pengurusan hartanah, satu sektor yang kini dikawal selia sebagai sebahagian daripada undang-undang yang lebih luas.
“Dengan hanya 594 firma pengurusan hartanah berlesen yang mengurus lebih 2.9 juta unit strata di seluruh negara, undang-undang yang bakal diperkenalkan dijangka mengisi kekosongan kritikal ini dan mewujudkan ekosistem pengurusan strata yang lebih profesional dan bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata, Badan Pengurusan Bersama (JMB) yang tidak dikawal selia dan tidak berpengalaman menjadi punca utama masalah penyelenggaraan bangunan yang lemah, pertikaian dan ketidakpuasan penduduk.
Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa KPKT mempertingkatkan penguatkuasaan peraturan.
“Sehingga Mac 2024 sebanyak 109 pemaju disenarai hitam kerana gagal mematuhi peraturan dan 572 notis dikeluarkan dengan denda berjumlah RM10.28 juta.
“Kebanyakan pelanggaran membabitkan pemaju yang gagal mengemukakan laporan yang diperlukan seperti kemas kini status pembangunan, laporan audit, penyata imbangan, atau penyata untung rugi kepada Jabatan Perumahan Negara.
“Pada masa yang sama, kami juga sedang mempertimbangkan hukuman yang lebih tegas termasuk larangan perjalanan terhadap pemaju yang didapati bersalah melakukan amalan penipuan melalui pindaan yang dicadangkan kepada Akta Pembangunan Perumahan,” katanya.
Beliau juga menggesa bakal pembeli rumah untuk menjalankan kajian terperinci dengan menyemak rekod pemaju sebelum membuat pembelian.
Dalam perkembangan berkaitan, Kor Ming berkata Malaysia sedang bertanding untuk mendapatkan kerusi dalam Lembaga Eksekutif Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat), badan global utama yang membentuk masa depan urbanisasi bagi meletakkan negara ini sebagai peneraju pembangunan mampan.
“Sebagai Pengerusi Mesyuarat Menteri ASEAN mengenai Perumahan dan Pembangunan Bandar (AMMHUD), Malaysia bukan sahaja mempengaruhi dasar serantau tetapi juga mencari suara yang lebih kuat di peringkat antarabangsa,” katanya.-BH Online