KUALA LUMPUR: Atlet negara diingatkan supaya tidak terburu-buru meninggalkan badan induk sukan kebangsaan semata-mata mahu menjadi profesional kerana tawaran lumayan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata keputusan sedemikian perlu dibuat dengan pertimbangan jangka panjang kerana ia membabitkan masa depan kerjaya dan pembangunan sukan negara.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi mengenai beregu badminton wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah, yang didakwa sedang mempertimbangkan untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan bergerak secara profesional.
“Jangan ambil jalan pintas hanya kerana nampak lumayan,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyampaian Insentif Kepada Murid-Murid Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Segambut oleh Kelab Sukan Jets, di sini, hari ini.
Menurut Hannah, tindakan meninggalkan BAM bukan sahaja menjejaskan kesinambungan pembangunan atlet muda, malah boleh menimbulkan risiko terhadap masa depan atlet terbabit.
“Dulu semua atlet di bawah BAM. Bila ada yang menang, pendapatan dikumpul dan diguna semula untuk bangunkan bakat baru. Kita mahu sistem yang saling menyokong, atlet bantu atlet,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa tidak semua atlet profesional mampu bertahan lama seperti Lee Zii Jia, terutama jika berdepan kejatuhan prestasi dan ranking dunia.
“Kalau bawah BAM, walaupun ranking jatuh, atlet masih diberi sokongan. Tapi bila sudah jadi profesional, mereka perlu urus sendiri. Penaja pun sukar diperoleh jika prestasi tidak konsisten,” katanya.
Tambah beliau, apa yang lebih membimbangkan adalah apabila ada syarikat swasta yang cuba ‘memancing’ atlet meninggalkan sistem sedia ada dengan janji manis, namun akhirnya lepas tangan.
“Bila atlet sudah menang dan bawa nama negara, syarikat yang janji mahu bantu pun hilang. Saya tidak mahu perkara ini berlaku lagi,” tegasnya.-BH Online