KUALA LUMPUR: Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negara, malam ini.
Setiausaha Kabinet Indonesia, Teddy Indra Wijaya , berkata kunjungan Prabowo ke Kuala Lumpur adalah untuk beramah mesra sempena sambutan Aidilfitri.
“Prabowo sangat menghormati Anwar sebagai pemimpin senior ASEAN yang berpengalaman luas.
“Beliau (Anwar) sudah memegang jawatan lebih awal, lebih berusia, dan juga rakan akrab kepada Presiden,” katanya dalam satu kenyataan.
Teddy yang turut menyertai lawatan itu memaklumkan bahawa Presiden Prabowo akan berangkat pulang ke Jakarta sejurus selepas pertemuan itu.
“Presiden akan pulang ke Jakarta malam ini juga,” jelasnya.
Sementara itu, agensi berita ANTARA melaporkan bahawa Teddy tidak memberikan jawapan yang khusus ketika ditanya mengenai kemungkinan kedua-dua pemimpin membincangkan dasar tarif import yang diumumkan baru-baru ini oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Beliau hanya berkata, “Kedua-dua pemimpin akan berbincang mengenai pelbagai perkara.”
Pada Jumaat lalu, Anwar berkata, Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN akan mengadakan rundingan dengan beberapa negara anggota blok bagi mencapai persetujuan bersama mengenai isu tarif timbal balik, demi memastikan prinsip keadilan dapat diterapkan dalam perdagangan antarabangsa. – BERNAMA