Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SUBANG JAYA: Laporan awal berhubung kebakaran saluran paip gas PETRONAS di Putra Heights di sini, dijangka diketahui dalam tempoh 72 jam.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berharap petunjuk tertentu kebakaran yang menyebabkan 78 kediaman dan 10 bangunan kedai mengalami kerugian menyeluruh atau ‘total lost’ dapat diketahui dalam tempoh berkenaan.

Katanya, adalah mustahil untuk mendapatkan laporan penuh dalam tempoh terdekat kerana siasatan menyeluruh perlu dilakukan yang antara lain memerlukan laporan kimia termasuk kajian forensik.

“Saya harap (laporan awal) dalam tempoh 72 jam kita kena dapatkan petunjuk tertentu. Sebagai contoh, dakwaan ada eskavator atau ada mesin pengorek yang mencetuskan hal tersebut (paip gas bocor sehingga berlaku kebakaran). Ini dakwaan ya.

“Jadi di mana mesin itu? Kalau ia (berlaku kerja-kerja) pengorekkan atau berlaku letusan, saya rasa mesin itu selamat dah. Itu yang kita kena cari (siasatan).

“Ketua Polis (Selangor) akan beri maklumat dari semasa ke semasa. Yang penting adalah siapa ada maklumat, jangan buat spekluasi. (Kalau) Ada maklumat (tolong) sampaikan kepada pihak berkuasa supaya kita boleh lakukan siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada selepas melawat mangsa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Masjid Putra Heights di sini petang tadi.

Amirudin juga memberi jaminan bahawa siasatan terperinci dan menyeluruh akan dilakukan.

Katanya, jaminan sama turut ditegaskan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Menurutnya, tiada dwi standard dalam siasatan kerana semua pihak akan dipanggil untuk menjalankan siasatan termasuk pihak pemaju.

“Ada banyak (dakwaan) sekarang ini di media sosial (termasuk) juga penduduk. Ada macam-macam (dakwaan). 

“Jadi tidak adil kita tuduh. Kita biarkan pihak polis lakukan siasatan dan hal ini memang dalam pengetahuan polis.

“Saya bincang dengan Ketua Polis Selangor dan dia kata dia nak tengok keseluruhan tempat (kejadian) tersebut. Saya harap ada pihak kita kena kenalpasti betul-betul dengan bertanggungjawab.

“Tapi sekarang saya selamatkan nyawa dulu. Alhamdulillah setakat ini tidak ada yang melibatkan korban nyawa tapi ada mangsa yang terlibat. 

“Tapi kita akan pantau mereka dalam tempoh 24 jam ke depan kerana takut ada kesan itu adalah jangka panjang.

“Pemaju juga (akan disiasat), MBSJ (Majlis Bandaraya Subang Jaya). Penduduk yang ada maklumat kita akan lakukan siasatan segera. 

“Jadi tidak perlu ada task force (pasukan petugas khas) kerana polis yang akan mengetuai (siasatan kebakaran ini), “katanya-BH Online