Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bagi Misi Bantuan Kemanusiaan Malaysia (MAS-01) ke Myanmar susulan gempa bumi, menemui dua mayat dalam operasi mencari dan menyelamat di tiga lokasi berasingan di Sagaing.

Pasukan MAS-01 dalam satu kenyataan berkata, operasi hari kedua di sebuah sekolah persendirian itu, menemui satu mayat seorang guru wanita.

Katanya, mangsa dikesan menggunakan kamera i-ris pada jam 9.45 pagi dan berjaya dikeluarkan pada jam 12.45 tengah hari, sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan.null

“Pencarian menyeluruh di lokasi kedua di sebuah masjid tidak menemui sebarang mangsa, namun di lokasi ketiga iaitu rumah kedai menjumpai satu mayat lelaki.

“Mayat mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan pada jam 4.50 petang dari lantai bangunan berkenaan.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Pasukan MAS-01 turut memaklumkan, operasi yang berakhir pada jam 6 petang itu akan disambung esok.null

Katanya, sebelum memulakan tugas hari ini, pasukan meluangkan masa kira-kira 10 minit meraikan Aidilfitri, dengan menunaikan solat sunat dan bersalaman.

Sementara itu, media Myanmar melaporkan, MAS-01 menjadi pasukan penyelamat asing pertama tiba di Sagaing, yang dilanda gempa bumi berukuran 7.7 magnitud pada Jumaat lalu.

MAS-01 tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Nay Pyi Taw tengah hari semalam waktu Myanmar bagi menjalankan misi kemanusiaan dan membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi di Myanmar.

Pasukan dengan kekuatan 50 anggota itu kemudian menempuh perjalanan darat sejauh 270 kilometer yang mengambil masa 24 jam dengan melalui 10 checkpoint keselamatan sebelum tiba di daerah Sagaing pada 4 pagi tadi waktu Myanmar dan mendirikan Pusat Operasi (BoO) di Sagaing Anniversary Football Pitch.-BH Online