KUALA LUMPUR, 31 Mac- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melakukan pemeriksaan ke atas lebih 600 warga asing semasa rondaan dilakukan di beberapa lokasi tumpuan di sekitar Kuala Lumpur.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff menjelaskan, rondaan dan penguatkuasaan itu bagi memastikan keselamatan serta keselesaan semua pengunjung sama ada warga tempatan mahupun pelancong asing.
“Pemeriksaan melibatkan warga dari pelbagai negara, termasuk Bangladesh, Indonesia, India, China, dan beberapa negara lain.
“Rondaan ini dilaksanakan di kawasan panas seperti Menara Berkembar Petronas (KLCC), Bukit Bintang, Masjid Jamek, dan Jalan Silang,” kata Wan Mohammed Saupee.
Lokasi-lokasi berkenaan menjadi tumpuan utama warga asing untuk menghabiskan waktu cuti bersempena dengan perayaan Aidilfitri.
Walaupun jumlah warga asing yang kelihatan ramai namun tinjauan di sekitar KLCC mendapati mereka tidak seramai seperti tahun-tahun sebelumnya.
Selain pekerja asing dan pelancong, kelihatan juga beberapa warga tempatan yang mengunjungi kawasan tersebut, lengkap berbaju raya bersama keluarga.
Rondaan tersebut diketuai Timbalan Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, K Vishnutharan dalam memastikan kawalan dan pemantauan lebih ketat terhadap pergerakan warga asing di seluruh kawasan tumpuan.-Berita RTM