Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Tiada pihak berkepentingan akan disisihkan dalam pembentukan akta baharu bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971. 

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pihaknya sudah memulakan perbincangan berhubung perkara itu dengan semua pihak berkepentingan dan berkaitan.

“Saya tidak mahu mana-mana kumpulan pun tertinggal apabila kita mahu mewujudkan sebuah akta baharu bagi menggantikan AUKU. 

“Saya sudah mengadakan beberapa siri pertemuan dengan wakil pertubuhan seperti dalam kalangan akademik, pentadbir serta mahasiswa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa menyantuni pengamal media yang membuat liputan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Zambry berkata, beliau sudah berjumpa dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) termasuk di peringkat kebangsaan yang mewakili semua universiti di seluruh negara bagi membincangkan perkara itu. 

“Mereka (MPP) juga mengadakan perbincangan dalam kumpulan mereka sendiri dan ada yang setuju, ada juga tidak. Jadi dapatan ini, kita akan gabungkan untuk melihat yang terbaik. 

“Saya mahu satu akta komprehensif yang mengambil kira semua pandangan kerana kita ingin mewujudkan sebuah akta baharu bukan jangka pendek tetapi untuk masa depan negara.

“Saya sebut banyak kali AUKU perlu meliputi semua aspek termasuk penubuhan universiti, tadbir urus serta aspek itu berkaitan mahasiswa,” katanya. 

Pada 15 Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan memansuhkan AUKU. 

Pengumuman itu mengundang pelbagai pandangan dengan ada yang bersetuju dan tidak bersetuju, atas alasan atau pandangan masing-masing. -BH Online