Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA KINABALU: Kerajaan Pusat menghargai dan mengalu-alukan pelaksanaan program yang digerakkan oleh kerajaan negeri khusus bagi membantu rakyat menangani kos sara hidup.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali memberi contoh seperti dilaksanakan kerajaan Sabah menerusi program Sentuhan Kasih Rakyat Sabah (SYUKUR).

Katanya, program berkenaan membabitkan pemberian bantuan tunai berjumlah RM300 sebulan untuk membantu 100,000 penerima yang layak dalam kategori miskin dan miskin tegar.

“Inisiatif SYUKUR adalah satu bentuk nilai tambah kepada program pemberian tunai dan bantuan langsung sedia ada dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan seperti melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA),” katanya selepas menyempurnakan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Sempena Bazar Syawal Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Tahun 2025 di sini, hari ini.

Armizan berkata ikhtiar kos sara hidup yang dilaksanakan kerajaan akan terus diperkukuhkan menerusi pelbagai strategi dan pendekatan termasuk melalui pemberian bantuan tunai kepada golongan sasar. 

Katanya, sebanyak RM13 bilion diperuntukkan tahun ini bagi inisiatif STR dan SARA iaitu peningkatan RM3 bilion berbanding tahun 2024.

“Bagaimanapun bermula April ini, kerajaan akan memperluaskan pelaksanaan SARA kepada 5.4 juta penerima berbanding 700,000 penerima sebelumnya. 

“Kadar bantuan bulanan SARA turut dinaikkan kepada sehingga RM200 mengikut kategori berbanding hanya RM100 sebulan sebelum ini.

“Daripada jumlah keseluruhan penerima, Sabah mencatatkan angka penerima bantuan tertinggi iaitu seramai 497,815 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM492,636,150,” katanya.

Armizan berkata kerajaan turut mengambil pendekatan meluaskan mekanisme penyaluran bantuan melalui MyKad kepada penerima SARA yang bermastautin di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Katanya, ia adalah penambahbaikan berbanding kaedah tahun sebelumnya yang mengguna pakai kaedah saluran secara tunai dua kali setahun sekali gus sebagai langkah penyeragaman dan penambahbaikan.

“Sebanyak 424 rakan niaga termasuk pasar raya dan kedai runcit terpilih di Sabah akan menawarkan pembelian barangan di bawah inisiatif ini bagi fasa permulaan.

“Penerima SARA boleh menggunakan kredit yang disalurkan untuk membeli 13 kategori barang keperluan terpilih termasuk barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan selain daripada barang makanan asas.

“Kerajaan MADANI akan terus memperkukuhkan ikhtiar kos sara hidup termasuk melalui pendekatan bantuan tunai dan bantuan langsung,” katanya.-BH Online