SUBANG: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang berlepas ke Myanmar pagi ini akan melaksanakan misi bantuan kemanusiaan susulan bencana gempa bumi di negara itu selama tujuh hingga 14 hari.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tempoh misi yang akan dijalani pasukan SMART bergantung kepada situasi semasa di lokasi bencana itu.
“Kita harap kehadiran Pasukan SMART negara sedikit sebanyak membantu kerajaan Myanmar dalam usaha mengesan dan sekali gus menyelamatkan mangsa yang dikhuatiri masih terperangkap dalam runtuhan di beberapa lokasi.
“Pasukan SMART ini membawa peralatan mencari dan menyelamat, dua unit trak dan satu hilux seberat 33 tan.
“Antara peralatan SAR dibawa adalah alat pemecah batu runtuhan, peralatan mengesan mangsa bawah runtuhan dan kamera wayar mencari mangsa yang terperangkap bawah tanah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan pelepasan 50 pegawai dan anggota SMART ke Myanmar hari ini.
Mereka terdiri pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diterbangkan dari Pangkalan Tentera Udara Subang menaiki dua pesawat A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Pasukan SMART di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berlepas jam 9.30 pagi tadi dan dijangka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Naypyidaw, Myanmar jam 12.30 tengah hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan belum mempunyai sebarang perancangan untuk menghantar Pasukan SMART ke Bangkok, Thailand.
Katanya, ini kerana keadaan di Myanmar pada masa ini adalah amat memerlukan bantuan dari negara-negara terdekat terutamanya Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.-BH Online