KUALA LUMPUR: Tidak ada rakyat Malaysia terbabit dalam kejadian gempa bumi dengan magnitud 7.7 yang menggegarkan Myanmar dan Thailand semalam, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diterima setakat ini, tiada laporan mengenai sebarang kemalangan atau kecederaan membabitkan warganegara Malaysia di kedua-dua negara itu.
Bagaimanapun, katanya, Kementerian Luar akan terus memantau situasi berkenaan dan sentiasa berhubung dengan Kedutaan Malaysia di Myanmar dan Thailand untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia terpelihara jika berada di kawasan terbabit.
“Kita akan terus memberikan bantuan dan sokongan kepada mana-mana rakyat Malaysia yang memerlukan, tetapi setakat ini tiada laporan mengatakan mereka terbabit dalam kejadian gempa bumi itu.
“Jika di Myanmar, rakyat kita ramai di Yangon, tetapi kejadian gempa berlaku di barat laut negara itu. Bagaimanapun, kita meminta rakyat Malaysia yang berada di Myanmar dan Thailand segera berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di kedua-dua negara itu melalui Sistem Pendaftaran Warganegara Malaysia (E-Konsular) atau menghubungi kedutaan terdekat.
“Langkah itu perlu bagi memastikan keselamatan dapat dipantau dan memudahkan usaha pihak berkuasa mengesan dan memberi bantuan dengan cepat jika diperlukan,” katanya kepada BH, hari ini.
Setakat pagi tadi, seramai 694 orang terbunuh, manakala 1,670 cedera dan 68 lagi hilang akibat gempa bumi kuat di Wilayah Mandalay, Myanmar.
Media hari ini melaporkan Malaysia akan menghantar pasukan di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) ke Yangon, Myanmar untuk menjalani misi bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana susulan gempa bumi itu.
Kementerian Luar melalui kenyataan berkata, pasukan dijangka membabitkan 40 anggota itu dijadual berlepas pagi esok dengan tumpuan kepada kawasan keutamaan dikenal pasti dalam penilaian awal, bagi memastikan bantuan Malaysia disalurkan secara tepat, relevan dan responsif terhadap keadaan semasa.
Keputusan menghulurkan bantuan ini diambil susulan kejadian gempa bumi yang melanda kawasan tengah Myanmar, utara Thailand dan sebahagian selatan China, yang mengorbankan banyak nyawa sedrta menyebabkan kemusnahan besar.
Mohamad melalui kenyataan sama menegaskan ASEAN bersedia membantu Myanmar dan Thailand dalam usaha tindak balas bencana, selaras keutamaan ditetapkan kedua-dua negara.
Beliau turut menyatakan negara anggota ASEAN akan berkoordinasi secara rapat melalui Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dalam Pengurusan Bencana (AHA Centre), bagi memastikan bantuan kemanusiaan disampaikan dengan segera, tepat dan berkesan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menzahirkan rasa dukacita terhadap skala kemusnahan itu dan merakamkan ucapan takziah kepada mangsa dan keluarga mereka.
Perdana Menteri turut menegaskan solidariti Malaysia bersama negara-negara jiran ASEAN dan menyatakan kesediaan Malaysia untuk menyokong segala usaha bantuan dan pemulihan.
Sementara itu, Mohamad berkata, beliau sudah berhubung dengan rakan sejawatnya di Thailand
dan pihaknya dimaklumkan negara terbabit mampu mengurus sendiri bencana itu tanpa bantuan negara luar.
“Malaysia sedia menghulur bantuan jika Thailand memerlukan, tetapi setakat ini, hanya Myanmar yang berbuat demikian dan pasukan kita akan dihantar ke sana, esok.
“Kedutaan Besar Malaysia di Yangon akan memberi sokongan kepada operasi pasukan ketika mereka di Myanmar termasuk penyelarasan bersama pihak berkuasa tempatan.
“Malaysia memikul tanggungjawab bersama untuk berdiri teguh dengan semua komuniti ASEAN yang terjejas dalam tempoh pemulihan ini,” katanya.-BH Online