Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KLANG: Kerajaan memberi jaminan bekalan keperluan barangan asas di seluruh negara mencukupi menjelang sambutan Aidilfitri minggu depan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata walaupun kementeriannya ada menerima laporan ketidakcukupan bekalan di pasaran, tetapi jumlahnya tidak banyak dan segera ditampung pihaknya.

“Ada kelompangan satu dua (kawasan) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan bertindak segera untuk lokaliti yang mengalami masalah. Ia tidak banyak.

“Tahun ini aduan itu amat kurang, malah semua (bekalan) sampai pada pengguna,” katanya selepas Majlis Pelancaran Semarak Syawal Peringkat Kebangsaan di Pasar Tani Taman Sri Andalas di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohamad berkata, kementeriannya turut berterima kasih kepada semua pihak dalam menyokong usaha kerajaan memastikan harga barangan tahun ini terkawal dan berada pada paras agak rendah. 

Mengenai program Semarak Syawal, beliau berkata, sebanyak RM16 juta nilai jualan direkodkan setakat hari ini yang berlangsung di 262 lokasi seluruh negara, bermula 22 Mac lalu hingga esok.

Selain di Pasar Tani Taman Sri Andalas, katanya, jualan khas turut diadakan di 42 lokasi terpilih di seluruh negeri dengan diskaun sehingga 30 peratus bagi Bakul MADANI Raya dan potongan harga sehingga 20 peratus bagi ayam proses.

“FAMA terus komited memastikan pengguna mendapat produk berkualiti dengan harga berpatutan, selain memperkukuhkan peranan pasar tani sebagai platform utama bagi petani dan usahawan tempatan. Inisiatif ini juga sejajar usaha kerajaan memperkasakan keterjaminan makanan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Antara pengisian menarik program ini ialah jualan produk keperluan raya seperti ketupat, santan, daun palas, daging ayam dan lembu, serta pelbagai jenis kuih raya pada harga berpatutan. 

Jualan khas turut membabitkan penyertaan usahawan tempatan, pihak swasta dan agensi kerajaan menawarkan Kombo MADANI (400 bakul), Jualan Happy Hour, serta promosi harga istimewa bagi ayam dan santan.-BH Online