Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan kumpulan syarikatnya akan melaksanakan program baik pulih lima kem tentera membabitkan kos RM500,000.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata peruntukan itu akan diagihkan RM100,000 bag setiap kem dengan program diteruskan pada tahun seterusnya membabitkan lima kem tentera lain.

Beliau berkata, melalui Program Satu Pemimpin, Satu Kem Santuni MADANI 2025 itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah memilih kem untuk dilaksanakan proses baik pulih dan penyelenggaraan.

“Lima kem terpilih tahun ini adalah Kem Lok Kawi, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu, Kem Kabota dan Kem Paradise masing-masing di Sabah, selain Pangkalan Udara Butterworth di Pulau Pinang.

“Setiap kem menerima RM100,000 bagi kerja penyelenggaraan dan pembaikan yang boleh dilaksanakan bila-bila masa kerana saya percaya setiap kem sudah mengenal pasti apa yang mereka kehendaki,” katanya pada Majlis Pengumuman Dividen LTAT Bagi Tahun Kewangan 2024 di sini, hari ini.

Mohamed Khaled berkata pelaksanaan program ini sebagai menzahirkan komitmen LTAT dan anak syarikatnya dalam meningkatkan kesejahteraan di kem-kem terpilih.

“Pada tahun hadapan, kem lain pula akan dipilih,” katanya.

Terdahulu, LTAT mengumumkan agihan dividen 5.25 peratus termasuk bonus dividen 0.25 peratus bagi tahun kewangan 2024, kadar agihan tertinggi dalam tempoh tujuh tahun.

Agihan membabitkan jumlah keseluruhan RM514.20 juta, lebih tinggi berbanding RM485.08 juta yang dibayar pada 2023 itu akan memberi manfaat kepada 125,014 pencarum, yang terdiri daripada anggota ATM.-BH Online