KUALA LUMPUR: Pahang menerusi Sekretariat Perantau Anak Pahang memberi sumbangan berbentuk 5,000 baucer petrol dan diesel kepada perantau anak negeri itu sempena Aidilfitri tahun ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata program berkenaan dapat membantu meringankan tanggungan kewangan perantau anak Pahang yang ingin pulang berhari raya.
“Sejumlah 1,000 penerima akan menerima baucar yang akan diadakan dalam majlis pada malam ini, manakala 4,000 lagi akan menerima baucar secara terus yang akan diserahkan kepimpinan negeri di kampung halaman masing-masing.null
“Program berkenaan berbentuk pemberian baucar petrol sebanyak RM50 kepada 5,000 penerima yang merupakan perantau anak Pahang,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Baucar Minyak Petrol / Diesel sempena Program Moh Balik Beraya ke Pahang, di Stadium Titiwangsa, di sini, hari ini.
Wan Rosdy berkata, program berkenaan mendapat sambutan menggalakkan daripada perantau anak Pahang yang mana sebanyak 21,671 permohonan diterima.
“Oleh itu, program berkenaan diteruskan lagi pada tahun ini membabitkan 5,000 orang penerima sama seperti tahun 2024.
“Pada tahun ini, jumlah permohonan yang diterima oleh pihak sekretariat adalah sebanyak 52,411 dalam tempoh lima hari permohonan dibuka,” katanya.
Katanya, melalui program berkenaan pihak sekretariat secara tidak langsung dapat menganggarkan jumlah perantau anak Pahang dan keperluan mereka.-BH Online