KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi mengemukakan beberapa cadangan untuk dipertimbangkan kerajaan dalam Belanjawan 2027, termasuk berkaitan pembangunan ekonomi kreatif.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata antara fokus yang diketengahkan selain usaha program di bawah Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan jabatan berkaitan ialah aspek ekonomi jingga atau ekonomi kreatif.
Katanya, kerajaan sebelum ini sudah membentuk Majlis Ekonomi Jingga yang akan meneliti pembangunan ekonomi kreatif membabitkan bidang filem, animasi, muzik serta seni dan budaya.
“Memandangkan kita telah bentuk satu Majlis Ekonomi Jingga yang akan meneliti pembangunan ekonomi kreatif yang menyentuh filem, animasi, muzik dan juga seni dan budaya.
“Jadi memang bagi pihak Kementerian Komunikasi, ada beberapa perkara yang kita ketengahkan dan kita harap dapat diberi pertimbangan oleh Kementerian Kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Persidangan Wacana Awam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13): Hala Tuju dan Cabaran, di sini hari ini.
Wacana itu dianjurkan oleh Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (INPUMA), Universiti Malaya (UM).
Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan pada Jumaat ini di Dewan Rakyat. Ia Belanjawan MADANI Kelima dengan matlamat untuk terus menuai hasil Kerangka Ekonomi MADANI dalam pengemudian negara Malaysia. -BH Online
