KUCHING: Tindakan pantas perlu dilakukan bagi memintas sebarang hantaran di media sosial yang membangkitkan kebencian antara kaum dan agama di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu sentiasa meningkatkan kemampuan dalam menangani konflik yang tercetus di media sosial, khususnya usaha pihak tertentu yang cuba menggugat keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama.
“Pihak polis sudah melaksanakan tanggungjawab dengan baik, namun kemampuan untuk menangkis isu itu perlu sentiasa dipertingkatkan kerana cabaran di media sosial sentiasa berubah.
“Gerakan membangkitkan kebencian ini perlu dipintas seberapa segera kerana ia boleh merebak dengan pantas dengan teknologi yang semakin canggih ketika ini.
“Apa yang berlaku di media sosial boleh menyebabkan berlakunya keretakan, menggugat keharmonian serta menjejaskan kestabilan dan inilah cabaran yang perlu dipikul polis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Moreh selepas solat Isyak dan Tarawih di Masjid Al-Muttaqqin, Kompleks Perumahan PDRM Tabuan Jaya, di sini, malam tadi.
Yang turut hadir, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata dan timbalannya, Deputi Komisioner Saifullizan Ishak.
Fadillah berkata, rakyat negara ini tidak harus lupa apa yang berlaku di Mesir ketika gerakan ‘Arab Spring’ yang tercetus pada 2010.
“Apa yang berlaku di Mesir itu bermula daripada gerakan menyemai kebencian yang tersebar luas menerusi media sosial.
“Sebab itu kita perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada media sosial kerana jika tidak ditangani dengan berkesan atau tindakan pantas tidak diambil, ia dikhuatiri akan menyebabkan keretakan teruk dalam masyarakat Malaysia,” katanya.-BH Online