CHUKAI: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.243 bilion untuk pelaksanaan pelbagai projek tebatan banjir, pemuliharaan muara sungai dan menangani hakisan pantai di Terengganu.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebahagian besar peruntukan itu adalah bagi projek pemuliharaan muara sungai membabitkan sebanyak RM999.86 juta.
Perdana Menteri berkata, jumlah peruntukan itu juga termasuk RM581.39 juta bagi projek bawah Rancangan Tebatan Banjir.null
“Untuk Terengganu, keseluruhannya bagi projek tebatan banjir dan pemuliharaan muara sungai, hakisan pantai di Terengganu itu pun belum selesai (seperti) di Pantai Marang.
“Tak salah saya tapi setakat ini telah diluluskan RM2.243 billion, termasuk pemuliharaan muara sungai dan tebatan banjir RM581.39 juta serta Projek Loji Rawatan Kumbahan dan Rangkaian Paip Pembetungan bernilai RM662.26 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa MADANI Peringkat Terengganu 2025 di Masjid Sultan Ahmad, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.null
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan Persekutuan juga memperuntukkan sebanyak RM1.836 bilion bagi Perbelanjaan Pembangunan di Terengganu, tahun ini, berbanding RM1.597 bilion pada 2024.
Beliau berkata, peruntukan itu menunjukkan pertambahan sebanyak RM239 juta berbanding pada 2024.
“Merujuk sumber Data MyProjek hingga 10 Mac lalu, Terengganu mempunyai 432 program/projek yang telah diluluskan.
“Hingga 10 Mac lalu, sebanyak 1,363 projek sudah siap dan ini setelah diambil kira projek-projek yang lama kos keseluruhan RM60.10 bilion merangkumi semua negeri di Malaysia.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 83 projek yang telah siap di Terengganu sahaja bernilai RM1.826 bilion,” katanya.-BH Online