SHAH ALAM: Semua pihak termasuk ahli politik dan warga maya perlu berhenti menggunakan agama dan kaum dalam setiap perkara atau isu.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan, berkata ia termasuk isu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman berhampiran Jalan Masjid India yang kini menjadi tumpuan.
“Seperti saya sebutkan sebelum ini, menggunakan kaum dan agama dalam setiap isu adalah tindakan yang tidak sihat dan ia bukan contoh yang ingin kita tunjukkan pada generasi akan datang.
“Ini perlu dihentikan. Pada saya, ini (isu kuil) adalah perkara yang sensitif tetapi apa yang lebih penting adalah kita berhenti gunakan agama dan kaum dalam setiap isu,” katanya.
Beliau memberitahu pemberita demikian ketika ditemui pada Program Jualan Madani Koperasi sempena Hari Raya Aidilfitri bersama komuniti Kota Damansara di Subang Bestari, dekat sini, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sedang mencari penyelesaian yang terbaik berhubung kuil berkenaan walaupun sukar kerana tanah itu adalah milik persendirian.
Katanya, ketika ini rundingan masih dilakukan untuk mencari penyelesaian terbaik berhubung perkara itu.
Sebelum ini, media melaporkan kerajaan akan memainkan peranan sebagai jambatan dalam rundingan di antara pihak swasta yang juga pemilik tanah di Jalan Masjid India di sini serta pengurusan kuil Dewi Sri Pathrakaliamman bagi mencari penyelesaian adil tanpa menyentuh mana-mana kaum.
Perkara itu dinyatakan Ramanan ketika melawat kuil itu sebagai wakil Kerajaan MADANI, kelmarin.
Ramanan turut memberi jaminan kerajaan bahawa kuil terletak dalam tanah milik swasta yang akan dibangunkan itu tidak akan dirobohkan.-BH Online