SHAH ALAM: Penjawat awam Selangor akan menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) tambahan setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 yang akan disalurkan selepas Aidilfitri.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata bantuan menerusi Insentif Rekod Hasil Negeri itu diberi berikutan kutipan hasil memberangsangkan Selangor dan akan dibayar selewat-lewatnya 15 April depan.
Katanya, ia adalah tambahan daripada BKK sebulan gaji atau minimum RM1,000 yang diumumkan pada Belanjawan Selangor 2025 pada November tahun lalu.
“BKK sebulan gaji akan dapat pada 25 Mac ini dan yang tambahan akan dapat 15 April depan. Jadi, sebelum raya dapat sebulan gaji dan selepas raya dapat setengah bulan lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Mahabbah Ramadan Madani Menteri Besar Selangor bersama Penjawat Awam Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, di sini hari ini.
Amirudin berkata, kutipan hasil negeri amat memberangsangkan dengan RM691 juta direkodkan sehingga hari ini.
“Ia menunjukkan kerajaan negeri berada dalam landasan kukuh dari segi pencapaian ekonomi. Insentif Khas Raya RM250 juga diberikan kepada 50,000 penjawat awam Persekutuan dengan gaji RM3,000 ke bawah.
“Insentif ini akan dipanjangkan kepada pemimpin masyarakat, pegawai perhubungan kampung, ketua komuniti India, penyelia Wanita Berdaya, dan Penggerak Belia Selangor sebanyak setengah bulan elaun ataupun minimum RM500.
“Petugas masjid antaranya nazir, imam, siak dan bilal pula akan menerima RM500 yang akan disumbangkan melalui Menteri Besar (Pemerbadanan) MBI,” katanya.
Beliau berkata, pemberian BKK tambahan itu membabitkan implikasi kewangan RM38.75 juta.-BH Online