JOHOR BAHRU: Konflik antara manusia dan gajah di Johor semakin membimbangkan, dengan lebih 100 aduan diterima setiap tahun dan kerugian dianggarkan mencecah RM1.1 juta.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata penyelesaian menyeluruh diperlukan bagi mengimbangi pemuliharaan alam, yang mana Johor menjadi habitat kepada sekitar 120 hingga 160 gajah liar dan keselamatan Bangsa Johor.
Katanya, konflik itu memerlukan penyelesaian yang menyeluruh melalui pendekatan jangka masa pendek, sederhana dan panjang supaya keseimbangan ekosistem serta pembangunan negeri dapat dicapai.
“Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan mengadakan lawatan ke Santuari Gajah Johor (JES) bagi meninjau perkembangan projek pemuliharaan serta langkah strategik dalam menangani konflik manusia-gajah di negeri ini.
“Menerusi lawatan ini, saya diberi taklimat mengenai beberapa langkah mitigasi yang dirangka membabitkan jangka pendek, sederhana dan panjang.
“Antara langkah pendek ialah meningkatkan kawalan dan rondaan di kawasan hotspot, melakukan pemindahan gajah ke kawasan yang lebih sesuai, dan menambah anggota PERHILITAN bagi mewujudkan Pasukan Tindakan Awal (PTA) untuk melakukan pengawasan dan menangani aduan dengan lebih pantas.
“Bagi jangka sederhana ialah memasang kolar satelit bagi memantau pergerakan gajah liar dan membina halangan fizikal di Hutan Simpan Kekal (HSK) bagi melindungi kawasan penempatan dicerobohi gajah.
“Manakala jangka panjang pula, pembangunan Food Bank Gajah di sempadan koridor gajah bagi menyediakan sumber makanan alternatif dan mengurangkan pencerobohan ke kawasan pertanian.
“Selain memperkasakan JES sebagai pusat pemuliharaan yang turut menyokong eko-pelancongan dan kajian biodiversiti,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook, di sini, hari ini.
Menurut Onn Hafiz, segala usaha itu bukan sahaja bertujuan memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat, tetapi juga untuk melindungi populasi gajah sebagai khazanah alam yang perlu dipelihara.
Katanya, kerajaan negeri dengan kerjasama agensi kerajaan, pihak swasta, serta institusi penyelidikan komited dalam mencari penyelesaian yang mampan dan berkesan.
“Konservasi gajah bukan sekadar satu tanggungjawab, tetapi satu amanah dalam memastikan keharmonian antara manusia dan alam terus terpelihara.
“Dengan pelaksanaan strategi yang komprehensif dan sokongan semua pihak, saya yakin isu antara gajah dan manusia dapat diselesaikan. Semoga segala usaha ini membuahkan hasil yang positif,” katanya.-BH Online