PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membuka 99 kertas siasatan setakat ini, berhubung kegiatan mencampur beras putih tempatan dengan beras import.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata ia berdasarkan pemeriksaan ke atas 308 premis pengilang dan pembungkus seluruh negara menerusi Ops Campur.
“Susulan arahan saya berikan kepada bahagian penguatkuasaan, mereka pergi ke premis pengilang, pemborong dan pembungkus, hasilnya kita ada 99 sampel beras setakat ini yang disyaki mengandungi campuran beras tempatan dan import.
“Sebanyak 17 daripada sampel itu kita sudah serahkan kepada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk dijalankan analisis,” katanya selepas menyempurnakan Hari Bersama NGO Kepenggunaan 2025, semalam.
MARDI menerusi Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi baru-baru ini mendedahkan 40 hingga 50 peratus beras putih import (BPI) daripada 5,000 sampel yang dianalisis, disahkan bercampur dengan beras putih tempatan (BPT).
Pegawai Penyelidik Kanan Biologikal Sains (Genetik) Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi MARDI, Mohd Shahril Firdaus Ab Razak, dilaporkan berkata kajian menggunakan teknologi pencapjarian asid deoksiribonukleik (DNA) beras itu dijalankan sepanjang 2023 dan 2024.
Susulan pendedahan itu, KPDN melaksanakan Ops Campur merangkumi perundangan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730), iaitu tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati membuat perihal dagangan palsu mengenai kandungan, jenis atau nama di bawah Seksyen 5 Akta 730.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, semua sampel terbabit dihantar secara berperingkat dan sekiranya analisis MARDI mendapati ada DNA beras tempatan, tindakan undang-undang akan diambil kepada pihak berkenaan.
KPDN menggunapakai Akta 730 dalam isu beras campur kerana kegiatan itu adalah satu kesalahan membabitkan dagangan palsu.
“Di bawah Akta Perihal Dagangan ada peruntukan yang melihat kepada kesalahan untuk membuat perihal dagangan palsu.
“Kalau mana-mana pihak menjual beras contohnya dengan label beras import tetapi sebenarnya ada kandungan beras tempatan, bermakna ia membuat perihal dagangan palsu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam, berkata pihaknya masih menjalankan Ops Campur dan melakukan pemeriksaan di setiap premis berkaitan di seluruh negara.
Syor Kertas Putih industri padi dan beras, tubuh RCI siasat ketirisan
Sementara itu, PM8 Tan Sri Muhyiddin Yassin cadang kerajaan menyediakan satu Kertas Putih untuk industri padi dan beras bagi memperhalusi pelbagai isu langsung dan tidak langsung yang mengganggu kelestarian industri terbabit.
Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam hantaran di Facebook, berkata isu yang timbul mengenai industri terbabit perlu diselesaikan secara menyeluruh, membabitkan setiap rantaian ekosistem padi dan beras.
“Ia termasuk penyertaan pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan.
“Satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) juga wajar ditubuhkan untuk menyiasat elemen ketirisan serta jenayah perdagangan sehingga mencetuskan krisis serta keresahan dalam kalangan petani dan rakyat di negara ini,” katanya.
Ahli Parlimen Pagoh itu membuat saranan terbabit susulan sesi pembentangan mengenai isu-isu berkenaan padi dan beras dan akses kepada benih yang disampaikan oleh wakil Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSawah), semalam.
Katanya, antara perkara yang dibangkitkan dalam sesi pembentangan itu, termasuk peningkatan kos input seperti benih, baja dan racun yang tidak berkualiti, kos perkhidmatan mesin dan jentera serta isu monopoli yang tidak menguntungkan petani.
“Petani juga mahu harga lantai padi ditingkatkan kepada RM1,800 daripada RM1,300 per tan disebabkan kenaikan pelbagai kos terbabit.
“Saya berpandangan, isu ini perlu diselesaikan secara menyeluruh membabitkan setiap rantaian ekosistem padi dan beras serta pembabitan pelbagai agensi kerajaan berkaitan” katanya.
Muhyiddin pada 13 Februari lalu pernah membangkitkan cadangan seumpama di Dewan Rakyat, menggesa kerajaan mewujudkan kertas putih industri padi dan beras supaya isu berhubung industri itu dapat diselesaikan secara komprehensif.-BH Online