Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua kaum di Malaysia menoktahkan isu perkauman, seterusnya bergerak ke hadapan dalam memastikan negara terus stabil. 

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata tindakan itu juga dapat menjamin supaya perpaduan antara kaum di negara ini kekal mekar dan harmoni. 

“Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada pihak yang menghentikan sebarang unsur negatif atau cubaan mengeruhkan lagi keadaan,” katanya melalui Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan di Facebook, hari ini. 

Dalam pada itu, Tunku Nashrul berkata Perdana Menteri semalam ketika majlis berbuka puasa bersama pengamal media turut bertemu trio penyampai radio Era FM yang sebelum ini terpalit isu mempersendakan upacara agama lain. 

“Dalam kesempatan yang ada, beliau dapat berikan nasihat dan berpesan supaya sentiasa membawa mesej perpaduan dalam tugasan harian di tempat mereka iaitu di stesen radio berkenaan. 

“Alhamdulillah, mesej diberikan itu bukan hanya menjerumus kepada mereka (penyampai radio) tetapi kepada semua pihak supaya dapat bersama menjadi agen perpaduan dan membantu usaha Kerajaan MADANI menyatukan seluruh rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang, kaum dan bangsa,” katanya.

Terdahulu, Ketua Strategi Astro Radio, Rizal Sahimy memaklumkan tiga penyampai radio iaitu Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin masih lagi direhatkan sehingga siasatan dalaman selesai.

Semalam, Maestra Broadcast Network System Sdn Bhd dikenakan kompaun RM 250,000 , bagaimanapun lesen mereka tidak digantung.

Pada 4 Mac lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diarahkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung video tular tiga penyampai radio Era FM yang dilihat sedang mempersendakan upacara agama lain.

Sementara itu, Tunku Nashrul berkata Perdana Menteri meminta MCMC memberi penjelasan kepada rakyat mengenai perbezaan hukuman dan kompaun dikenakan dalam beberapa kes membabitkan isu perkauman.

Beliau berkata, Perdana Menteri menegaskan semua pihak perlu faham akan perubahan akta dan undang-undang yang sudah diluluskan sebelum ini hatta berlakunya perbezaan hukuman dan kompaun yang dikenakan. 

“Sebarang tanggapan atau perkongsian maklumat yang tidak tepat dalam hal ini hanya akan mencetuskan persepsi tidak sihat di kala kita semua dituntut untuk terus menyemai benih keharmonian dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.-BH Online