Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengedarkan satu pekeliling khusus bagi membolehkan penolong pegawai perubatan (PPP) mengeluarkan preskripsi ubat-ubatan asas untuk rawatan penyakit ringan. 

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pembaharuan diperkenalkan itu tidak memerlukan pindaan terhadap Akta Racun 1952, sebaliknya pelaksanaannya boleh dibuat melalui kuasa Ketua Pengarah Kesihatan.

Mengulas lanjut, katanya pengeluaran preskripsi terbabit hanya boleh dibuat PPP yang mempunyai skop tugas merawat pesakit dan bagi kategori ubat-ubatan tertentu. null

“Ini sedang dalam perancangan kami dan Ketua Pengarah Kesihatan akan keluarkan pekeliling (nanti) mengenainya.

“Saya melihat perkara ini sangat mustahak kerana misalnya PPP yang bekerja di kawasan pedalaman seperti Sabah dan Sarawak, mereka (ada yang bekerja) tanpa doktor.

“Pada masa sama, tugas mereka adalah untuk menyelamatkan nyawa dan penduduk luar bandar bergantung kepada mereka (PPP), terutama bagi klinik komuniti. 

“Jadi ini saya kira mustahak bagi kita mengiktiraf peranan PPP kerana melalui arahan ini, misalnya jika ada isu perundangan, maka mereka dilindungi (kerana ada pekeliling) membenarkan untuk berbuat demikian,” katanya. null

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Sambutan Hari Pembantu Perubatan Peringkat Kebangsaan 2025 di Auditorium Perdana Hospital Tunku Azizah di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Sementara itu, Dr Muhammad Radzi mengesahkan pekeliling terbabit akan dikeluarkan cuma belum ada ketetapan bila ia akan dibuat. 

“Ya, ia akan dikeluarkan secara dalaman membabitkan semua PPP,” katanya.-BH Online