PUTRAJAYA: Wisma Putra berjaya menggalas tanggungjawab dan ikhtiar yang digarap Kerajaan MADANI dalam menaikkan imej negara di pentas antarabangsa, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, kejayaan itu berdasarkan kunjungannya ke luar negara termasuk dalam kalangan anggota ASEAN.
“Terima kasih warga Kementerian Luar kerana dapat mengangkat ikhtiar dan usaha yang membanggakan serta dibebankan dengan tugas yang jauh lebih besar berbanding beberapa tahun sebelum ini.null
“(Berdasarkan) pengalaman saya bersama-sama dalam kunjungan dan ke luar negara (termasuk) ASEAN terutamanya beberapa negara luar, saya melihat prestasi membanggakan bukan sahaja kepada saya tetapi juga kepada negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Luar di sini, hari ini.
Yang turut hadir isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; Pengarang Urusan Kumpulan (GME) MPB, Jasbant Singh dan Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH), Zulkifli Jalil.
Anwar berkata, Wisma Putra yang diterajui Mohamad juga menjadi perhubungan penting dalam membawa visi dan dasar antara Malaysia serta negara luar.
“Saya tak bergurau, ini adalah nota serius, apabila Perdana Menteri jemput, tidak semua duta datang tetapi apabila Menteri luar yang buat jemputan, saya lihat ramai (duta dan wakil negara luar) hadir tanpa gagal.
“Ini secara tidak langsung membuktikan kekuatan dan pengaruh Menteri Luar, tahniah dan sekali lagi terima kasih,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mahu semua pihak terus menghayati makna sebenar Ramadan.
Menyifatkan sambutan Ramadan di negara ini sebagai unik, Anwar berkata, kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia menjadikan semangat toleransi di negara amat bermakna.
“Dari masa saya masih kecil di Pulau Pinang, saya jarang melihat kawan-kawan dekat (makan) saya, mereka menjauhkan diri daripada saya dan ini amat penting bagi saya.
“Yang penting dalam Ramadan adalah penyembuhan spiritual dan peraturan diperbaiki untuk memastikan bahawa kamu menambah baik kepada latihan untuk memperbaiki diri,” katanya.-BH Online