Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Golongan wanita menjadi asas bagi ‘madrasah pertama’ dan sistem sokongan terhadap keluarga, masyarakat dan negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata, wanita juga simbol kekuatan dan ketabahan yang amat besar sumbangannya dalam membentuk keluarga, masyarakat dan negara.

“Justeru kita harus mendukung apa jua dasar inklusif ke arah memperkasakan golongan hawa ini demi kesejahteraan dan kemajuan wanita Malaysia.

“Sempena Hari Wanita Sedunia 2025, kita wajar meraikan sumbangan dan kejayaan besar golongan wanita dalam membangunkan masyarakat dan negara serta peranan wanita yang semakin berkembang dalam pelbagai bidang,” katanya. 

Fadillah berkata dalam arena politik, penglibatan wanita sebagai Ahli Parlimen telah menunjukkan peningkatan yang lebih baik dan menjadi langkah positif ke arah kepimpinan yang lebih inklusif.

Beliau berkata, dalam konteks sosial dan ekonomi, jurang pendapatan antara wanita dan lelaki, perlindungan sosial, hak kesihatan, serta hal-hal melibatkan keganasan terhadap wanita, wajar diberikan perhatian oleh pihak berkuasa dan masyarakat secara berterusan.

Dengan tema sambutan tahun ini Wanita Beraspirasi Membina Legasi, Fadillah berkata ia merupakan simbolik penghargaan kepada wanita tanpa mengira latar belakang, etnik, bahasa, budaya, ekonomi atau politik.

Beliau berkata tema itu merujuk kepada semangat wanita untuk mencapai impian dan mengangkat usaha wanita demi mencipta perubahan yang berkekalan. 

Timbalan Perdana Menteri berkata dalam usaha memperkasakan lagi wanita, kerajaan MADANI turut menyediakan pelbagai inisiatif menarik yang dizahirkan menerusi pembentangan Belanjawan 2025.-BH Online