Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

GEORGETOWN: Pemain industri semikonduktor di Malaysia digesa mengutamakan penerapan Kecerdasan Buatan (AI) sebagai strategi utama bagi meningkatkan kecekapan operasi dan memperkukuhkan kedudukan negara sebagai peneraju industri itu pada peringkat global.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata selain mengguna pakai teknologi AI, Malaysia juga perlu membangunkan penyelesaian semikonduktor berasaskan AI sendiri dan mewujudkan ekosistem AI tempatan yang kukuh.

“Selain mengadaptasi teknologi AI sedia ada, Malaysia juga perlu melahirkan juara AI tempatan dalam sektor semikonduktor bagi memastikan daya saing berterusan pada peringkat antarabangsa.

“Langkah ini dilihat strategi jangka panjang untuk mengekalkan daya tarikan pelaburan asing dan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan teknologi global dalam situasi industri semikonduktor yang semakin dipacu AI,” katanya pada sidang media pada Majlis Pelancaran Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) AI Nexus (MAIN) di sini, hari ini. 

Mengulas perkembangan cip AI buatan Malaysia seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, beliau berkata, pemain industri semikonduktor di negara ini sudah memulakan bukti konsep (POC) dalam usaha menghasilkan cip sendiri berdasarkan AI.

“Justeru, saya harap dalam dua tiga bulan ini, kita boleh melihat pelancaran cip AI buatan Malaysia seperti diumumkan Perdana menteri. Jadi perkara itu juga menjadi asas perbincangan hari ini,” katanya.

Sementara itu, Gobind turut menggesa semua pihak termasuk pemain industri semikonduktor, pembangun AI, institusi penyelidikan dan penggubal dasar bekerjasama secara aktif dalam usaha mengintegrasikan AI dalam industri itu.

Beliau berkata, kerajaan komited menyediakan persekitaran kondusif bagi mempercepatkan transformasi digital sektor semikonduktor dan kini sedang membantu perniagaan dalam transformasi digital melalui Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) yang berperanan sebagai pihak berkuasa pusat bagi memacu agenda AI negara.

Katanya, Kementerian Digital melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan menumpukan kepada tiga inisiatif utama bagi mempercepatkan penggunaan AI dalam industri semikonduktor dengan pihaknya akan membantu syarikat komponen MAIN menembusi pasaran global seperti Brazil dan India melalui program GAIN MDEC. 

“Kami juga akan menyokong projek bukti konsep dan perintis menerusi Inisiatif Global Testbed yang menyediakan syarikat luar dengan platform untuk menguji serta membangun dan mewujudkan teknologi serta produk baharu di Malaysia.

“MAIN akan menjadi platform kerjasama bagi pengeluar semikonduktor, syarikat reka bentuk dan pemain industri untuk mengintegrasikan AI dalam operasi mereka, sekali gus memastikan industri semikonduktor Malaysia kekal berdaya saing pada peringkat global.

“NAIO juga bersedia meneroka dan menyokong program masa depan MAIN bagi memastikan Malaysia kekal di hadapan dalam inovasi semikonduktor berasaskan AI,” katanya.-BH Online