KUALA LANGAT: Tidak timbul isu ‘double standard’ dalam siasatan kes membabitkan kes 3R yang merujuk kepada raja, agama dan kaum seperti didakwa sesetengah pihak.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata dalam isu ini tidak sepatutnya wujud perbandingan, sangkaan buruk dan membuat tuduhan tidak berasas mengenai siasatan dijalankan pihak berkuasa.
“(Tuduhan) ini tidak membawa kebaikan apa-apa pun kepada masyarakat dan negara… yang jelas, sekiranya ada aduan sudah tentu polis akan menjalankan siasatan.null
“Bahkan di Bukit Aman (sudah) bermula sejak tahun saya minta kepada Ketua Polis Negara ketika itu Tan Sri Arcyl Sani, segera diwujudkan Unit Siasatan Jenayah Terkelas khusus untuk aduan berkaitan 3R,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kilang memproses sisa elektronik (e-waste) haram di Telok Panglima Garang di sini, hari ini.
Tambah Saifuddin, UJST diberikan tempoh masa maksimum tujuh hari untuk menjalankan siasatan sebelum kertas siasatan lengkap dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya (DPP).
Semalam, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh meminta pihak berkuasa menjelaskan perkembangan siasatan kes menghina agama Islam melibatkan pelakon dan pelawak, Harith Iskander dan Cecilia Yap Song.null
Persoalan itu timbul susulan isu tiga penyampai radio 3 Pagi Era yang disiasat berhubung dakwaan mempersenda upacara agama Hindu, baru-baru ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) malam tadi, mengesahkan pihaknya akan menyerahkan kertas siasatan berhubung satu video mempersendakan agama Hindu kepada Timbalan Pendakwa Raya pada hari ini.
Kelmarin, penyampai radio slot 3 Pagi Era iaitu Nabil Ahmad, Azad Jazmin dan Radin tampil memohon maaf berikutan penghasilan video kontroversi dilihat mempersendakan tarian kavadi Hindu.
MCMC juga memaklumkan Notis Niat bagi Penggantungan Lesen turut diserahkan kepada pemegang lesen yang mengendalikan stesen radio Era FM.
Ia menegaskan pemegang lesen terbabit diberi tempoh 30 hari untuk mengemukakan maklum balas sebelum sebarang keputusan diambil.
Dalam kenyataan sama, MCMC memaklumkan Harith Iskander serta Cecelia Yap yang memuat naik kandungan dan komen jelik membabitkan agama Islam pada akaun Facebook, masing-masing akan dikompaun RM10,000.
Enam termasuk tiga penyampai radio terbabit juga sudah dipanggil ke Bukit Aman untuk dirakam percakapan yang dijalankan oleh USJT Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Astro Audio dalam kenyataan, kelmarin memaklumkan menggantung tugas tiga penyampai radio terbabit serta dua lagi kakitangannya.-BH Online