KUALA LUMPUR: Kerajaan berjaya menjimatkan RM15 juta setahun dengan menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebagai ambulans udara.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata dua lagi helikopter akan diterima tahun depan sebagai sambungan projek itu.
Beliau berkata, pelaksanaan projek itu dapat memastikan penyampaian perkhidmatan perubatan sampai kepada setiap lapisan masyarakat.
“Justeru, kita akan memperkasa lagi anggota bomba, yang kini digambarkan sebagai wira negara.
“Hasil kerjasama JBPM dengan Kementerian Kesihatan (KKM), kita berjaya transformasikan konsep ‘Flying Doctors’ (doktor Udara) dengan menggunakan helikopter JBPM.
“Dalam hal ini, kita berjaya menjimatkan RM15 juta dalam setahun dan misi ini akan kita teruskan yang mana tahun depan, kita akan menerima dua lagi helikopter baharu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani dan Pertukaran Nota Kerjasama antara NIOSH dan JBPM yang berlangsung di Bangunan Utama Parlimen, di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.
Kor Ming berkata, sebelum ini kerajaan membelanjakan sekitar RM20 juta setahun untuk program ‘doktor udara’.
Perkhidmatan ambulans helikopter oleh JBPM bermula pada 1 Mei 2023, dapat menjimatkan RM15 juta setiap tahun.
Sebelum ini, program ‘doktor udara’ dilaksanakan KKM dengan pengangkutan disediakan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa doktor ke lokasi yang memerlukan bantuan.-Bh Online