KUALA LUMPUR: Ahli Kabinet dibenarkan untuk menjawab sebarang isu berbangkit berpandukan teks jawapan dan tidak mengarahkan ucapannya kepada Pengerusi Dewan Rakyat.
Ketetapan itu dibuat Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd Nor, sebagai tindak balas terhadap celahan dibangkitkan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) mengikut Peraturan 35(1).
Peraturan 35(1) memperuntukkan ahli Dewan Rakyat yang mahu bercakap supaya bangun di tempatnya dan mengarahkan ucapan kepada pengerusi, selain tidak boleh bercakap melainkan selepas dipanggil untuk berbuat demikian.
Ramli berkata, menteri atau individu yang menjawab boleh bercakap secara terus kepada beliau atau membaca jawapan berpandukan teks disediakan pasukan pegawainya.
Beliau berkata, Peraturan 35, 36 dan 37 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat hanyalah garis panduan kepada mana-mana Ahli Parlimen untuk berbahas.
“(Peraturan) 35(1) ini senang sahaja, arahan dia tetap – bercakap menghadap Yang Dipertua, tetapi kita di dewan ini beri ruang, (ahli Dewan Rakyat) mahu pusing kanan atau kiri.
“Tidak menjadi masalah (menjawab secara membaca teks) kerana ‘keyword’ (kata kunci) adalah menjawab. Cara menjawab, sama ada membaca atau pegawai beri (teks jawapan), ia masih lagi jawapan.
“Ini petua saya, saya benarkan walaupun dia membaca daripada teks,” katanya mengulas celahan Shahidan yang mempersoalkan sesi penggulungan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Terdahulu, Shahidan mempersoal kaedah Amir Hamzah menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2024) 2025, mendakwa bekas peneraju Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu tidak menjawab persoalan dibangkitkan wakil pembangkang.
Beliau berkata, kewajaran menteri membaca teks jawapan atau tidak mengarahkan ucapan kepada pengerusi, banyak kali dibangkitkan sebelum ini.
Sementara itu, Ramli yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands turut mengingatkan ahli Dewan Rakyat supaya tidak melanggar mana-mana peraturan ditetapkan.
“Ramai YB (Yang Berhormat) tahu peraturan tetapi langgar semacam. Tak tahulah sebab apa, sama ada ‘air time’ di luar untuk menunjukkan YB bekerja. Biarlah kita ikhlas, terutama di bulan puasa ini.
“Kalau kita yang gubal undang-undang pun tak boleh buka dan ikut (peraturan dewan). Apa yang rakyat akan tengok? Hendak kena tegur? Saya tak mahu jadi guru besar, tetapi kalau terpaksa bercakap, saya akan bercakap.
“Saya pernah bertugas sebagai penguat kuasa lebih 30 tahun, menguatkuasakan undang-undang. Kalau kita sendiri di dewan 222 ini (Dewan Rakyat) tak boleh ikut peraturan, macam mana kita nak ‘expect’ (jangkakan) rakyat di luar?” katanya.-BH Online