PUTRAJAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat, esok membuktikan kematangan proses demokrasi di Malaysia, yang dilaksanakan oleh pentadbiran kerajaan MADANI.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata RUU yang memerlukan dukungan dua pertiga Ahli Parlimen itu memperkasa Parlimen sebagai mercu tanda kebebasan bersuara Ahli Parlimen, yang tidak boleh terlalu terikat dengan proses perkhidmatan awam secara menyeluruh, maka “dibebaskan”.
“Sebab itu saya kata, ada juga kebijaksanaan. Bila ada kuasa, itu dimanfaatkan untuk melaksanakan program dan ini antara program yang agak penting kerana ia sekali lagi menunjukkan keupayaan kita memperbaiki sistem pentadbiran demokrasi di negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri-Menteri di JPM; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Mengulas lanjut mengenai agenda reformasi institusi yang dilaksanakan kerajaan, Perdana Menteri, berkata Rang Undang-Undang (RUU) Iltizam Kecekapan Pentadbiran Awam yang dijangka dibahas minggu ini juga membolehkan proses penilaian perkhidmatan awam dilakukan dengan lebih jelas.
Beliau turut meminta pengurusan tertinggi kementerian supaya memaklumkan keputusan berhubung urusan pentadbiran kerajaan kepada kakitangan awam di semua peringkat, bukan hanya terhad berkaitan sesebuah kementerian saja.
“Apa yang saya tegur minggu lalu dalam pasca Kabinet, kadang-kadang keputusan ini tidak sampai ke bawah, jadi di bawah itu ada keresahan.
“Keputusan kita dalam Jemaah Menteri itu patut disampaikan, bukan saja dalam mesyuarat pasca Kabinet yang dipengerusikan Menteri tetapi juga yang dipengerusikan Ketua Setiausaha (KSU), Ketua Jabatan, tidak terikat kepada urusan jabatan mereka saja kerana ia terkait soal penilaian, proses kerja dan prosedur operasi standard (SO) setiap penjawat awam.
“Jika tidak, ada ketidakhubungan dengan apa yang dilakukan di atas tidak sampai ke akar umbi,” katanya.
Perdana Menteri berkata, keberkesanan perkhidmatan awam bukan hanya bergantung kepada akta tetapi kepada kesungguhan dan tekad dalam melaksanakannya.
Di Kementerian Kewangan, katanya, Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal (FRA) 2023 diperkenalkan, yang memerlukan komitmen kerajaan dalam soal pengurangan defisit dan belanjawan, yang mesti dilaksanakan.
“Jika tidak dilaksanakan, ia harus dibentang semula untuk dibahaskan, dibantah oleh Parlimen. Jadi, tidak semua negara mahu berbuat begitu. Ia memerlukan tekad dan politik jika betul-betul punyai iltizam untuk melakukan reformasi.
“Selain itu, Akta Perolehan Kerajaan (diperkenalkan) supaya proses dan prosedur itu kekal sebagai peraturan.
“Kerajaan boleh bertukar ganti tetapi akta itu kekal, proses tender dan perolehan itu mesti dipatuhi,” katanya.-BH Online