Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyasarkan lebih 600 syarikat menyertai Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2026, meningkat berbanding 357 penyertaan pada edisi 2024. 

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata setiap syarikat yang mengambil bahagian akan mendapat manfaat daripada penyertaan mereka sebagai ‘saringan kesihatan industri’ secara percuma, terutama bagi syarikat baharu dan mereka yang telah melaksanakan penambahbaikan.

“Penyertaan dalam AKI penting kerana MITI, melalui pelbagai agensi, akan menyokong syarikat ini dan memastikan apabila penilaian dibuat, kami turut membantu mereka memenuhi keperluan minimum untuk melonjak ke tahap pertumbuhan seterusnya,” katanya selepas melancarkan anugerah itu, di sini, hari ini. 

Beliau berkata, selain bertanding, syarikat yang menyertai AKI juga akan menerima bimbingan, nasihat serta pelbagai bentuk sokongan daripada infrastruktur kerajaan dan sektor swasta. 

Diperkenalkan pada 1991, AKI bertujuan mengiktiraf pencapaian syarikat di Malaysia yang kekal berdaya saing dan inovatif dalam pasaran global. 

“Tiga aspek kecemerlangan dinilai bagi setiap pencalonan, iaitu tadbir urus pengurusan; kualiti produk dan perkhidmatan; serta keupayaan memberikan nilai tambah berterusan kepada pemegang taruh masing-masing. 

“Aspek ini selari dengan hasrat kerajaan untuk memastikan komuniti perniagaan negara terus berdaya saing dalam landskap perniagaan yang semakin mencabar,” katanya. 

Pada AKI 2024, anugerah tertinggi kategori Anugerah Perdana Menteri dimenangi oleh CTRM Aero Composites Sdn Bhd. – Bernama