BUTTERWORTH: Pemerkasaan ekonomi usahawan India adalah komitmen berterusan kerajaan Persekutuan dengan RM300 juta diperuntukkan setakat Februari lalu bagi tahun ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan, berkata jumlah itu merangkumi RM100 juta untuk Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), RM100 juta bagi Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) di bawah TEKUN Nasional dan RM100 juta diperuntukkan kepada BRIEF-i (Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i).
“Dalam tempoh dua bulan sahaja, kita salurkan RM300 juta dan pihak kerajaan sedang mengusahakan beberapa inisiatif baharu untuk membantu memajukan taraf sosioekonomi komuniti India.
“Saya mengadakan perbincangan dengan beberapa agensi di bawah kementerian ini untuk tujuan berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas beliau merasmikan sesi pertemuan Vanakam MADANI bersama usahawan komuniti India Pulau Pinang anjuran TEKUN Nasional di sini, kelmarin.
Ramanan berkata, inisiatif itu adalah bukti keprihatinan dan kesungguhan Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam memperkukuh ekonomi golongan usahawan yang selama ini memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara.
“Saya berharap peserta yang menyertai sesi taklimat SPUMI & SPUMI Goes Big akan mengambil peluang untuk menyertai program ini demi memperkukuh perniagaan masing-masing.
“Pada masa sama, saya mahu mereka menjadi duta yang menyebarkan maklumat ini kepada rakan-rakan usahawan lain, supaya lebih ramai dapat memanfaatkan peluang ini,” katanya.
Ramanan berkata, pihaknya sentiasa memberi tumpuan utama terhadap inisiatif pemerkasaan ekonomi khususnya untuk masyarakat India kerana kekuatan ekonomi mampu menjamin masa depan dan hala tuju masyarakat India di negara ini. – BERNAMA