Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pencapaian Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencerminkan keyakinan pelabur terhadap dasar Kerajaan MADANI yang mesra pertumbuhan dan pelabur, disokong reformasi fiskal di bawah kerangka Ekonomi MADANI. sekali gus memberi manfaat kepada rakyat untuk pertumbuhan sejagat dan lestari, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KWSP hari ini mengumumkan kadar dividen 6.3 peratus bagi Simpanan Konvensional dengan jumlah agihan RM63.05 bilion dan 6.3 peratus bagi Simpanan Shariah dengan jumlah agihan RM10.19 bilion.

Jumlah keseluruhan agihan bagi 2024 adalah sebanyak RM73.24 bilion.

Kadar dividen itu adalah yang tertinggi untuk tempoh sejak 2017.

“Alhamdulillah, KWSP mengumumkan kadar dividen yang gemilang, dengan jumlah agihan tertinggi dalam sejarah, yakni RM73.24 bilion.

“Malah, Simpanan Shariah juga melakar sejarah, dengan julung kalinya mencapai kadar setara dengan Simpanan Konvensional,” katanya menerusi hantaran di platform media sosial “X”, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, prestasi memberangsangkan KWSP itu dipacu kepesatan pasaran modal Malaysia yang mekar di tengah tantangan ekonomi global yang penuh cabaran.

“Dengan keyakinan semakin meningkat dalam ekonomi negara, insya-Allah kita akan mara dengan penuh iltizam, memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai oleh seluruh rakyat,” katanya.- BERNAMA