TAWAU: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung penahanan empat bekas pegawai kanan yang mempunyai kaitan dengan Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerana disyaki terbabit rasuah.
Timbalan Perdana Menteri yakin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan lengkap mengikut proses perundangan sedia ada.
“Kita harap mereka (SPRM) dapat menjalankan siasatan dan melakukan keadilan.
“Kita harap kredibiliti selama ini menjadi garis utama integriti SPRM,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun UMNO Sabah ke-34 di dewan tertutup Kompleks Sukan Tawau di sini, hari ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dilapor mengesahkan penahanan empat pegawai kanan terbabit termasuk dua individu bergelar Datuk.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya SPR) untuk menentukan tarikh bersesuaian bagi mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia semalam.
“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan sudah tentunya kami turut berdukacita.
“Mudah-mudahan keluarga beliau bersabar menerima takdir ini.
“Pagi tadi, saya telah menghubungi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad supaya kekosongan kerusi terbabit dimaklumkan kepada SPR bagi menentukan tarikh sesuai mengadakan PRK.
“Kami tidak tergesa-gesa melakukannya, namun oleh kerana Ramadan terlalu hampir, tentunya kita mengharapkan tarikh dipilih SPR ini satu tarikh yang dapat disesuaikan dengan keadaan Ramadan,” katanya.-BH Online