KOTA KINABALU: Sebanyak RM22 bilion diperuntukkan bagi melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di kawasan yang sering dilanda banjir di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata jumlah itu merangkumi kawasan yang sedang dikenal pasti untuk pelaksanaan projek berkenaan bagi mengatasi masalah banjir pada masa depan.
“Dengan berlakunya pemanasan global dan perubahan iklim, kita berterima kasih kerana Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memberikan beberapa unjuran berdasarkan kawasan yang dijangka mengalami masalah banjir.
“Jadi pihak kerajaan mengambil beberapa langkah proaktif untuk melaksanakan RTB. Di seluruh negara sejumlah RM22 bilion diperuntukkan untuk melaksanakan RTB.
“Ia meliputi semua kawasan yang sedang dikenal pasti untuk dilakukan naik taraf agar tebatan banjir ini dapat mengelakkan banjir di kawasan yang terbabit,” katanya pada sidang media selepas lawatan ke projek RTB Persekitaran Kawasan Lido, Bandaraya Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick.
Mengenai RTB Persekitaran Lido, Ahmad Zahid berkata projek bernilai RM800 juta itu dilaksanakan bagi menyelesaikan banjir yang sering berlaku di kawasan berkenaan.
Katanya, beberapa pakej kerja RTB sudah dilaksanakan, namun masih ada beberapa pakej belum selesai dan perlu dibuat supaya masalah banjir di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan dapat diselesaikan.
“Kita memerlukan kira-kira RM800 juta peruntukan tambahan yang akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) untuk dilaksanakan,” katanya.
RTB Persekitaran Lido yang merangkumi pembinaan kolam takungan dan pembinaan pam serta sistem untuk menghalang kemasukan air pasang adalah sebahagian daripada program Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Moyog yang membabitkan daerah Penampang, Putatan dan Kota Kinabalu.
Projek itu dijadual siap pada Mac depan tetapi syarikat kontraktor yang melaksanakannya mendapat tambahan masa sehingga Jun tahun depan berikutan berlaku kelewatan dalam penyiapan kerja.
Mengulas mengenai kelewatan itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata perkara itu bukan disebabkan masalah kontraktor atau JPS.
“Kelewatan ini bukan salah pihak JPS atau kontraktor tetapi ia membabitkan pemindahan utiliti dan pengambilalihan tanah.
“Maka kita menerima alasan itu namun pihak JPS sentiasa memantau agar banjir yang berlaku empat kali setahun di kawasan ini dapat diatasi,” katanya.-BH Online