SEREMBAN: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menegaskan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mempunyai mekanisme tersendiri dalam menguatkusakan undang-undang jalan raya untuk kepentingan dan keselamatan pengguna.
Katanya, pihaknya sentiasa menyokong sebarang tindakan yang diambil agensi berkenaan dalam memastikan keberkesanan penguatkuasaan.
“Mereka (anggota JPJ) telah diberikan kuasa dan sokongan untuk melaksanakan tugas hakiki. Kami (kementerian) hanya hendakkan penguatkuasaan yang berkesan.
“Cadangan untuk mewujudkan Pasukan Tindakan Khas harus disokong. Sudah tentu, itu bidang kuasa KP (Ketua Pengarah JPJ) untuk menjaga anak buahnya dan saya akan berikan sokongan kepada beliau.
“Jadi, apabila ada (cadangan) untuk mewujudkan mekanismenya yang tersendiri, ada tindakannya sendiri, itu memang di bawah JPJ dan agensi itu bebas untuk melakukan tindakan proaktif yang difikir sesuai,” katanya ketika ditemui media di sini, petang tadi.
Terdahulu beliau hadir pada Majlis Minum Petang Bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Parlimen Seremban dan Dewan Undangan Negeri (DUN), Chennah serta menyampaikan sumbangan Ramadan kepada JPKK.
Beliau mengulas laporan media berhubung cadangan JPJ untuk mewujudkan Pasukan Tindakan Khas dengan latihan khusus, yang akan menjalankan operasi khas, risikan dan membantu negeri menyelesaikan isu kritikal dengan anggota terbabit ditempatkan di ibu pejabat JPJ.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli, dilaporkan berkata pasukan itu akan menjalankan tugas berbeza daripada penguatkuasaan dan membantu untuk isu yang lebih kritikal dengan cadangan berkenaan akan dibawa kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk pertimbangan.
Dalam pada itu, Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban, berharap JPKK dapat memainkan peranan proaktif dalam menjayakan Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) bagi mengupayakan komuniti masing-masing melalui aktiviti peningkatan sosioekonomi.-BH Online