Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sun Bus Tech Sdn Bhd menyasarkan peningkatan jualan dalam negara sebanyak 49 peratus pada tahun ini berbanding empat peratus pada 2024 bagi memacu kelestarian pengangkutan awam di Malaysia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata usaha yang dilakukan oleh pengeluar bas Malaysia itu wajar dipuji memandangkan sebelum ini ia berjaya menembusi pasaran antarabangsa dengan begitu luas.

“Tahun 2024, sebanyak 96 peratus jualan mereka datangnya dari luar negara dan empat peratus saja di Malaysia.

“Bagi 2025, mereka sasarkan mahu naikkan jualan tempatan kepada 49 peratus dan 51 peratus sahaja ke luar negara,” katanya menerusi video pendek di platform X beliau.

Tengku Zafrul berkata, antara pelanggan luar negara syarikat itu ialah Land Transport Authority yang dikenali sebagai LTA Singapura.

Tambahnya, Sun Bus Tech akan mengorak langkah dengan membekalkan bas kenderaan elektrik (EV) pada tahun ini.

“Dengan teknologi EV dan inovasi yang berterusan, Sun Bus Tech membuka jalan untuk masa depan pengangkutan awam yang lebih lestari di Malaysia.

“Semoga lebih banyak syarikat tempatan akan mengikuti jejak langkah mereka,” katanya.-BERNAMA